Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Libas warga emas sampai mati: Empat lelaki berdepan tali gantung
Diterbitkan:  May 7, 2026 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Teluk Intan hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas menggunakan senjata tajam dipercayai parang pada April lepas.

Mereka, iaitu SRC Parkash Rao, MV Aligeswaran, T Tiagesan dan K Shanker yang kesemuanya berusia 25 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dan seorang lagi yang masih bebas, membunuh N Jeyagoby, 70, di No 110 Lorong Emas L2/1 Pekan Baru dalam daerah Hilir Perak kira-kira 6 hingga 6.30 pagi pada 17 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kes Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada 17 April lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas maut akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru, di Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS