Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gagal kemuka dokumen kewangan, ROS arah MTUC dibubar sementara

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerima perintah pembubaran sementara daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkuat kuasa hari ini susulan kegagalan mengemukakan beberapa dokumen dan maklumat kewangan yang diminta.

Menurut notis bertarikh 7 Mei 2026 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, MTUC diarah dibubarkan sementara selepas didapati tidak menyerahkan maklumat tertentu yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan.

Menurut perintah rasmi itu, ROS mendapati MTUC tidak mematuhi arahan bertulis bertarikh 6 April lepas antaranya salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira yang telah diaudit bagi tahun 2020 hingga 2025 selain senarai berkaitan kewangan, wang, harta atau faedah yang diterima daripada pihak luar negara bagi tempoh sama.

Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa MTUC mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Dokumen itu ditandatangani oleh ROS Selangor Nurul Azhar Husin dan dihantar kepada Setiausaha MTUC manakala satu salinan turut dihantar kepada Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor dan Bendahari Bindu Girdharlal Patel.

ROS turut memaklumkan bahawa sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak, pembubaran sementara itu akan menjadi muktamad, dan MTUC dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Notis itu memaklumkan di bawah Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966, mana-mana pemegang jawatan atau individu yang mengurus atau membantu pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, MTUC boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

MTUC ialah kesatuan kebangsaan tertua mewakili pekerja-pekerja di Malaysia yang ditubuhkan pada 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan 1955.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS