Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS bidas kerajaan Selangor sambil lewa titah Sultan isu ternakan babi
Diterbitkan:  May 8, 2026 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

PAS hari ini mendakwa kerajaan Selangor masih belum menunjukkan kesungguhan dalam menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata teguran berulang kali daripada pihak istana membuktikan isu berkenaan bukan perkara kecil kerana melibatkan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa dan sensitiviti masyarakat setempat.

Dia merujuk kepada kenyataan media pihak istana pada 10 Februari lalu, titah Sultan Selangor ketika pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 April lalu, serta kenyataan terbaru istana semalam.

"Teguran berterusan ini jelas menunjukkan bahawa isu penternakan babi di Selangor mendapat perhatian serius daripada baginda Tuanku.

"Pastinya baginda maklum bahawa isu ini berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa yang tidak memuaskan, sensitiviti masyarakat setempat serta kesejahteraan rakyat.

"Namun sehingga kini, reaksi kerajaan negeri masih belum mencerminkan kesungguhan yang sewajarnya, walaupun teguran telah dibuat berulang kali oleh Sultan Selangor," katanya pada kenyataan.

Semalam, Sultan Sharafuddin menegaskan baginda kekal tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Baginda turut mahu isu penternakan haiwan itu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan rakyat serta memastikan keamanan dan keharmonian negeri terus terpelihara.

“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” kata Setiausaha Sulit Kanan Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani.

Kenyataan terbaru istana itu mempertegaskan titah Sultan Selangor bulan lalu yang tidak berkenan mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan lokasi penternakan babi susulan kebimbangan terhadap pencemaran serta kekangan tanah.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan komitmen kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Amirudin Shari dalam menangani isu tersebut secara menyeluruh.

"PAS memandang serius perkara ini kerana ia bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi turut menyentuh kedaulatan institusi raja dan kedudukan Sultan sebagai ketua negeri.

"Kegagalan mendokong titah Tuanku secara bersungguh-sungguh hanya akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus mencabar batas yang sepatutnya dihormati," tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Sehubungan itu, PAS menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas dan berkesan bagi memastikan titah Sultan Selangor dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Rabu lalu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyembah maklum pendirian Putrajaya berhubung syarat ketat pembukaan ladang penternakan babi di Selangor ketika menghadap Sultan Sharafuddin baru-baru ini.

Menurut Fahmi, Anwar turut memberi taklimat kepada kabinet mengenai sesi menghadap tersebut yang disertai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Katanya, kerajaan persekutuan menetapkan bahawa sebarang kawasan penternakan babi hanya boleh dibangunkan di lokasi baru yang jauh daripada kawasan perumahan serta sumber kritikal seperti aliran air dan sungai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS