Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara kini lebih teratur selepas mengambil langkah-langkah proaktif, terutama di bawah kelolaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia yang juga menteri kewangan berkata langkah seperti pengurangan penggunaan petrol RON95, penguatkuasaan lebih ketat bagi membendung kebocoran dan ketirisan diesel serta usaha mengimport bekalan minyak juga terbukti membantu dalam memperkukuh jaminan bekalan negara.
“Oleh itu dari segi bekalan (ini) tidak begitu meresap (terjejas) sepertimana yang dialami pada dua bulan lepas,” katanya kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status bekalan minyak negara yang sebelum ini dilaporkan mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Jun.
Mengulas isu bekalan minyak susulan krisis Asia Barat terhadap ekonomi dunia, Anwar berkata perkara itu turut menjadi antara fokus utama dalam sidang kemuncak kali ini.
Katanya negara-negara Asean turut membincangkan usaha bersama bagi menangani isu kekurangan bekalan serta mengurangkan tekanan kenaikan kos seperti makanan, baja dan pengangkutan.
“Asean mengambil langkah-langkah proaktif seperti bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran.
“Negara-negara yang mempunyai (bekalan) lebihan turut mengambil keputusan untuk memberi keutamaan kepada Asean,” katanya.
Menyentuh projek khusus seperti Rangkaian Kuasa Asean, Anwar berkata negara-negara anggota menyokong sepenuhnya inisiatif itu bagi memenuhi keperluan sumber tenaga alternatif.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak yang berlangsung pada 7 dan 8 Mei.
Anwar tiba di Cebu bersama isteri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan diiringi oleh Menteri Luar Mohamad Hassan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi Asean daripada Malaysia pada 1 Jan lalu dengan tema Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama (Navigating Our Future, Together) menerusi tiga teras iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.
- Bernama
