Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perpaduan k'jaan dipertahan demi kestabilan negara - Mohamad
Diterbitkan:  May 9, 2026 11:26 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Perpaduan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu terus dipertahankan bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pengalaman jatuhnya kerajaan PH selepas PRU ke-14 lalu wajar dijadikan pengajaran khususnya dalam mengelakan perpecahan dalaman yang boleh menggugat mandat rakyat.

“Yang penting ialah perpaduan kita bina ini perlu dikekalkan. Kalau kerajaan gagal, bukan datang daripada serangan luar, tetapi daripada dalaman kita sendiri,” katanya ketika berucap pada program ceramah isu-isu semasa di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata semua pihak dalam kerajaan perlu memberi sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menyelesaikan sebarang perbezaan melalui saluran dalaman, bukannya dibahaskan secara terbuka.

“Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau ada yang bercita-cita hendak jadi perdana menteri, ikut proses parti dan pilihan raya, bukan dengan cara ‘tebuk atap’,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara PH dan BN kerana formula berkenaan terbukti mampu mewujudkan kestabilan politik negara, sekali gus memperkukuh peluang kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Katanya walaupun kedua-dua gabungan itu pernah menjadi seteru politik, banyak isu kini dapat diselesaikan menerusi meja rundingan tanpa mencetuskan polemik terbuka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS