Polis menahan 46 orang, termasuk pemimpin politik, kerana menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga minyak di sekitar KLCC petang tadi.

Pemimpin politik yang ditahan adalah dari PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Sabtu Osman berkata, mereka terdiri daripada 36 lelaki dan 10 wanita.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 (1) Akta Polis dan Kanun Acara Jenayah (105).

"Seksyen 27 (1) ialah berhimpun tanpa kebenaran, manakala Kanun Acara Jenayah (105) merupakan tindakan pencegahan," katanya dalam sidang media melalui telefon di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) itu tidak mendapat permit polis.

Wartawan turut ditahan

Bagaimanapun, Mohamad Sabtu enggan menyatakan nama-nama mereka yang ditangkap dalam perhimpunan tersebut.

Mereka yang ditahan termasuklah Naib Presiden PAS, Mohd Sabu; Kordinator Gerak, Badrul Hisham Shahrim; Bendahari Agung PAS yang juga Setiausaha Protes, Dr Hatta Ramli; Pengarah Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim.

Turut ditahan ialah Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan, Ahli MPT PKR, Dr Badrul Amin Bahron; Kordinator Media PKR, Ginie Lim dan Ketua Wanita PAS, Dr Nuridah Salleh.

Wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahid turut ditahan di Ampang Park. Mereka dibawa di IPK Kuala Lumpur untuk diambil kenyataan.

Mohamad Sabtu berkata, perhimpunan kali ini disertai oleh kira-kira 100 orang.

"Tiada sebarang unsur keganasan berlaku dalam perhimpunan hari ini," katanya.

Trak meriam air

Tinjauan Malaysiakini di kawasan KLCC mendapati kira-kira 10 trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk dua trak meriam air air berada di kawasan KLCC.

Selain itu, kira-kira 200 anggota polis dan 50 anggota Rela turut berkawal.

Bagaimanapun, tiada sebarang jalan ditutup dan kenderaan melalui Jalan Ampang bergerak seperti biasa.

Orang ramai juga tiada mempunyai masalah untuk ke pusat membeli belah di KLCC.

Kawasan di depan KLCC menjadi sesak apabila orang ramai termasuk pelancong asing berkumpul untuk melihat anggota polis menangkap mereka yang gagal mematuhi arahan polis.

Malaysiakini difahamkan Tian Chua ditahan tidak lama selepas beliau mengadakan sidang media di sebuah gerai di Jalan Yap Kwan Seng kira-kira 200 meter dari KLCC.