Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chean Chung ditempelak lepas anggap PJ tak lagi selamat buat PKR
Diterbitkan:  May 11, 2026 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Dakwaan dibuat Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berhubung kedudukan kerusi tersebut nampaknya tidak mendapat respon positif. Bahkan dia ditempelak oleh salah seorang pemimpin kanan PKR.

Memberikan reaksi kepada pandangan tersebut, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng sebaliknya membidas bekas bendahari agung mereka itu menunjukkan kelemahannya sendiri.

Kata Ng, PKR yakin kerusi Petaling Jaya kekal sebagai kubu kuat mereka dan Lee tidak sepatutnya menyalahkan orang lain atas kelemahan dirinya semasa menjadi ahli parlimen di situ.

“Dakwaan Lee bahawa kerusi Petaling Jaya tidak selamat sebenarnya adalah pengakuan terhadap kegagalan prestasi beliau sendiri.

“Parlimen Petaling Jaya merupakan kerusi Gred A bagi PKR.

“Jika kerusi ini tewas dalam PRU akan datang, Lee ialah orang pertama yang harus bermuhasabah dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan beliau yang membawa kepada kemusnahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng yang juga Timbalan Ketua PKR Petaling Jaya dan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut menyenaraikan beberapa isu yang didakwanya menjadi bukti kegagalan Lee, sekali gus menunjukkan ahli parlimen terbabit sebagai “jaguh kenyataan media” namun gagal membawa penyelesaian.

Dia membangkitkan isu banjir kilat berulang di kawasan itu, selain mendakwa Lee kurang turun padang dan terlalu bergantung kepada kenyataan media.

Bryan Ng

Menurut Ng, walaupun mempunyai akses kepada kementerian berkaitan dan agensi teknikal, tindak balas Lee terhadap isu banjir di Petaling Jaya sekadar mengeluarkan kenyataan media meminta laporan dan semakan dibuat.

Lee juga didakwa Ng sering menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada MBPJ dan kerajaan negeri tanpa menawarkan penyelesaian membina.

“YB Lee, di mana kamu apabila Petaling Jaya dilanda banjir? YB sepatutnya turun padang, lihat keadaan sebenarnya dan menggunakan kuasa dan pengaruh yang sedia ada untuk mendapatkan solusi yang pragmatik dan bukannya hanya membuat kenyataan media yang retorik.

“Daripada turun padang membawa pelan mitigasi yang agresif, apa yang rakyat lihat hanyalah lambakan retorik (kenyataan) media tanpa tindakan susulan yang berkesan.

“YB telah bertindak seolah-olah pembangkang seperti ahli parlimen lain yang bersama dengan Rafizi Ramli,” katanya.

Beri imej buruk pada PKR

Dalam audio siar terbaru terbitan Malaysiakini versi bahasa Cina, Lee berkata, kerusi Petaling Jaya tidak lagi boleh dianggap sebagai kawasan selamat buat PKR walaupun ia merupakan kawasan bandar utama di Selangor.

Katanya, walaupun pengundi di kawasan itu masih komited terhadap agenda reformasi, keadaan semasa tidak sesuai untuk mengklasifikasikan kerusi parlimen itu sebagai selamat.

Lee turut membangkitkan kontroversi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua pesuruhjayanya yang bakal bersara, Azam Baki, selain siasatan terbaru melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas pembantunya James Chai.

Kata Ng, Lee kerap tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sebalik kedudukannya dalam badan itu.

Menurut Ng, sebagai salah seorang anggota MPP, Lee ada saluran rasmi untuk bersemuka dengan kepimpinan tertinggi termasuk presiden mereka, Anwar Ibrahim, melalui mesyuarat yang dijalankan tanpa gagal setiap bulan.

“Namun, sepanjang perlantikan saya dalam MPP, Lee dikesan kerap tidak hadir mesyuarat.

“Beliau tidak pernah membangkitkan atau membincangkan isu-isu rakyat secara konstruktif di dalam mesyuarat, namun di luar beliau bersikap lantang mengkritik parti.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan beliau yang memberi imej seolah-olah parti dan presiden tidak terbuka kepada pendapat orang lain sedangkan beliau gagal menggunakan saluran rasmi yang ada,” katanya lagi.

Mengenai hubungan dengan akar umbi, Ng mendakwa hubungan Lee dengan anggota parti semakin renggang.

Ekoran perkembangan itu, kata Ng, satu usul turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan bagi menolak pencalonan semula Lee pada PRU akan datang.

“Kekalahannya dalam pemilihan cabang Petaling Jaya adalah bukti jelas bahawa anggota parti sendiri sudah hilang keyakinan terhadap gaya kepimpinan Lee yang dilihat terpisah jauh daripada akar umbi,” katanya lagi.

Untuk rekod, dalam pemilihan parti pada tahun lalu, Lee kalah kepada bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dan pernah menjadi exco Selangor, Hee Loy Sian.

Aspek ‘kelemahan’ lain yang dibangkitkan Ng ialah:

• “Kehilangan daripada radar komuniti” sepanjang Ramadan lalu di sebalik tradisi wakil rakyat PKR yang sering berbuka puasa di surau-surau sekitar Taman Medan
• Peniaga kecil kecewa apabila tidak dapat mengadu nasib kerana dilihat lebih 'sibuk' mengatur naratif di media sosial
• Menjadi ‘wartawan’ dalam isu Tasik Taman Jaya walaupun memiliki kelayakan dalam bidang kejuruteraan

“Dia mesti berhenti bermain politik retorik dan mula berfungsi sebagai wakil kerajaan yang bertanggungjawab.

“Petaling Jaya memerlukan wakil rakyat yang membawa penyelesaian, bukan sekadar jaguh kenyataan media,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Lee untuk mendapatkan respons dan masih menunggu jawapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS