Kira-kira 100 orang berkumpul di luar pusat tahanan Pudu di Kuala Lumpur hari ini untuk menggesa supaya dibebaskan kira-kira 50 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga semalam.

Mereka yang ditahan - termasuk wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahiid - sedang menunggu mendengar permohonan reman lewat hari ini.

Para peguam bagaimanapun berkata mereka tidak diberi masa yang secukupinya untuk menemui tahanan yang mereka wakili.

“Apa gunanya jika kita hanya dibenarkan bertemu mereka untuk beberapa minit sahaja sebelum permohonan reman di dengar? Kami tidak sempat mendapat arahan secukupnya dari pelanggan kami," kata peguam Mohamed Hanipa Maidin.

12 dilepaskan tanpa syarat

Semalam, polis membebaskan 12 orang, termasuk remaja berusia 16 tahun serta seorang wanita yang mengandung. Mereka dibebaskan tanpa syarat.

Sementara itu, AFP berkata polis enggan memberitahu mengapa Syed Jaymal ditahan ketika beliau meminta maklumat dari seorang pegawai polis semalam.

Kerajaan enggan memberi pas rasmi kepada wartawan Malaysiakini bagi membolehkan mereka menghadiri majlis-majlis rasmi.

"Ia menunjukkan pihak polis tidak menghormati hak wartawan untuk menjalankan tugas mereka," kata Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan.

"Mereka sepatutnya membebaskannya sebaik sahaja dia memperkenalkan dirinya sebagai wartawan," katanya kepada AFP.

Protes tersebut diadakan kerana membantah kenaikan harga minyak dan barangan menjelang pilihanraya umum yang dijangka diadakan Mac ini.

Beratus-ratus anggota polis ditempatkan di KLCC semalam untuk menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan itu yang diisytiharkan oleh polis sebagai haram. Berita asal