Permohonan tahanan reman terhadap 47 orang yang ditahan sewaktu perhimpunan Protes semalam dan ditahan di Penjara Pudu masih berterusan malam ini.

Lima orang pertama yang ditahan reman selama 24 jam ialah Mohamad Sabu (PAS), Dr Hatta Ramli (PAS), S Arutchelvan (PSM), Tian Chua (PKR) dan Simon Ooi.

Kesemua mereka dinamakan dalam perintah mahkamah yang melarang perhimpunan tersebut diadakan semalam.

Mereka dijangka didakwa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta esok. Sebahagian besar daripada mereka yang ditahan reman hari ini dijangka didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram manakala lima pemimpin Protes juga akan didakwa kerana melanggar larangan berada di kawasan KLCC semalam.

Pada jam 9 malam tadi, wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahiid masih belum dibawa menemui majistret. Nasibnya masih belum diketahui tetapi Malaysiakini telah mendapatkan bantuan peguam Ameer Hamzah untuk menguruskan keperluan guaman Syed ketika dalam tahanan polis.

Buat laporan polis

Selepas beliau ditahan selepas bertanya kepada seorang pegawai polis di KLCC berhubung tangkapan peserta perhimpunan Protes semalam, Syed Jaymal membuat laporan polis mendakwa beliau telah dipukul di kepala dan rambutnya ditarik.

Menurut laporan Syed, mereka sedang berjalan ke arah trak polis secara berkumpulan apabila dia ditolak. Dia meminta supaya jangan ditolak kerana mereka semua digari bersama. Mereka menjerit ke arahnya, dan dia menjerit balik. Kemudian seorang anggota polis menumbuk kepalanya dan seorang lagi menarik rambutnya.

Syed juga membuat satu lagi laporan polis kerana ditahan secara tidak sah.

Semalam, operasi polis diketuai oleh Ketua Polis Yesterday’s Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman. Pada satu ketika peserta perhimpunan itu dan anggota polis bergelut, dan kedua belah pihak menjerit terhadap satu sama lain supaya "berhenti tolak menolak".

Zulkarnain kedengaran mengarahkan anggotanya supaya menangkap mereka yang tidak menghiraukan arahannya supaya duduk. Apabila peserta perhimpunan mula melintas jalan menuju ke arah Avenue K, Zulkarnain mengarahkan supaya mereka ditangkap.

Malam tadi, 12 daripada mereka yang ditahan itu dibenarkan pulang tetapi mereka tetap berlegar di situ sebagai tanda sokongan mereka kepada yang lainnya.

Perhimpunan membantah kenaikan harga barangan itu yang dianjurkan oleh Protes - yang dianggotai oleh badan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang - dirancang diadakan secara aman.

Oleh itu, pihak penganjur tidak memohon permit polis tetapi telah memaklumkan kepada pihak polis mengenainya. Berita asal