Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuota Budi95 mungkin dikurangkan lagi kepada 150 liter
Diterbitkan:  May 12, 2026 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Kerajaan berpotensi mengurangkan lagi kuota petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 kepada 150 liter sebulan, berbanding 300 liter sebulan sekarang ini susulan konflik di Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata bahawa data penggunaan semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan jauh lebih sedikit daripada paras kuota semasa iaitu 200 liter sebulan, berbanding kuota sebelum ini sebanyak 300 liter.

Liew Chin Tong

"Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

"Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter.

“Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter," katanya pada sesi 'Fireside Chat' bertajuk 'Malaysia's Response to Global Energy Crisis: Build Back Better' di 'Affin Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026' anjuran Affin Group, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Liew, program Budi95 harus dilihat sebagai alat pengurusan permintaan dan bukan sekadar program subsidi, memandangkan kerajaan perlu memastikan negara mempunyai bekalan bahan api yang sentiasa mencukupi dan stabil, terutama jika krisis geopolitik di Asia Barat berlarutan lebih lama daripada yang dijangkakan.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa kerajaan mahu memastikan kumpulan rentan terus mendapat akses kepada bahan api bersubsidi, dan sedang mengusahakan skim subsidi diesel bersasaran untuk Sabah dan Sarawak.

Tambah Liew, adalah penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan sekiranya harga bahan api meningkat mendadak.

Katanya, golongan pengguna motosikal misalnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.

Perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api telah melonjak hampir 10 kali ganda apabila harga minyak mentah melonjak dengan peningkatan mendadak dalam konflik geopolitik Asia Barat pada akhir Februari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS