Malaysiakini BERITA

Anwar tidak perlu dipanggil, kata suruhanjaya diraja

Beh Lih Yi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini memutuskan tidak akan memanggil Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi.

Ia juga tidak akan memanggil dua lagi pemimpin PKR - R Sivarasa dan Sim Tze Tsin - untuk memberi keterangan berhubung siasatan klip tersebut, yang dilanjutkan hingga Rabu ini.

Begitu juga dengan dua saksi rahsia yang ditawarkan oleh Anwar, juga tidak akan dipanggil memberi keterangan.

Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohd Noor berkata, keterangan yang hendak diberikan oleh mereka tiada kaitan langsung dengan siasatan yang dijalankan.

Minggu lalu, suruhanjaya itu telah mendengar hujah peguam M Puravalen yang mewakili Anwar mengapa saksi-saksi tersebut perlu dipanggil memberi keterangan.

Minggu lalu, Anwar telah mempersoalkan mengapa suruhanjaya tersebut melengah-lengahkan untuk memanggilnya sebagai saksi, sedangkan beliau telah disapina untuk memberi keterangan.

Di samping memberi bukti-bukti baru kepada suruhanjaya tersebut, Anwar yang mendedahkan klip video tersebut September lalu, berkata adalah penting untuk beliau memberi keterangan kerana namanya turut disebut dalam video berkenaan.

Hari ini, Puravalen turut berhujah kepada suruhanjaya tersebut bahawa kehadiran Anwar adalah penting kerana bekas timbalan perdana menteri itu mempunyai dalam simpanannya klip video yang baru mengenai skandal dalam badan kehakiman.

Lingam akan menyambung keterangannya hari ini.