Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RTM, Unifi TV siar semua 104 perlawanan Piala Dunia 2026
Diterbitkan:  May 13, 2026 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Peminat bola sepak tanah air bakal menikmati tayangan semua 104 perlawanan Piala Dunia 2026 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV hasil kerjasama strategik bersama tiga syarikat telekomunikasi utama negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata jalinan kerjasama melibatkan Unifi, CelcomDigi dan U Mobile itu bukan sahaja memperluas akses sukan bertaraf dunia kepada rakyat, malah memperkukuh peranan penyiaran awam dalam menyediakan kandungan berkualiti tanpa kos tambahan.

"Sebentar tadi, RTM selaku stesen penyiaran awam di bawah Kementerian Komunikasi secara rasmi mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.

"Hari ini, sukacita saya umumkan bahawa kesemua 104 perlawanan akan ditayangkan dalam RTM dan Unifi TV,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani memperluas akses rakyat kepada kandungan berkualiti dan memanfaatkan sukan sebagai medium perpaduan nasional.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail berkata penglibatan penaja korporat membolehkan kerajaan meminimumkan perbelanjaan bagi mendapatkan hak penyiaran kejohanan berprestij tersebut.

"Ini hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, sebahagian besarnya adalah daripada penaja syarikat korporat dan ia adalah perbelanjaan paling minimum (oleh RTM)," katanya.

Sebelum ini, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani memaklumkan siaran Piala Dunia 2026 akan tersedia di pelbagai platform termasuk secara percuma melalui MyTV selain platform penstriman (OTT) menerusi RTM Klik dan Unifi TV bagi memastikan capaian menyeluruh.

Katanya Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar aksi sama ada secara langsung atau siaran tertunda, mengikut jadual yang ditetapkan.

Edisi 2026 bakal menyaksikan AS, Mexico dan Kanada menjadi tuan rumah bersama dengan aksi pembukaan dijadualkan berlangsung di Mexico City pada 11 Jun, manakala perlawanan akhir diadakan di New Jersey, AS pada 19 Julai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS