Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas sikapnya kepada AS bahawa negara ini mahu ahli perniagaan buruan polis, Jho Low, dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian atas peranannya dalam skandal 1MDB.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata walaupun dia bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa cubaan Jho Low mendapatkan pengampunan presiden daripada Donald Trump adalah urusan negara itu, Malaysia tetap perlu menyuarakan kebimbangannya kepada Washington.
“Malaysia telah menanggung kerugian besar merentasi generasi akibat skandal 1MDB ini.
“Ia adalah rompakan berskala nasional yang merampas kekayaan rakyat dan mencemarkan reputasi negara.
“Seluruh negara terpaksa menukar kerajaan pada 2018 bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Kita tidak boleh, dan tidak sesekali dapat membenarkan dalang jenayah itu serta mereka yang membantu menjayakannya bebas tanpa melalui proses keadilan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Penegasan itu dibuat selepas Anwar semalam memberitahu media bahawa Putrajaya tidak akan memfailkan bantahan terhadap permohonan pengampunan Jho Low kerana menganggapnya sebagai “bukan isu”.
Gobind yang juga Menteri Digital menegaskan Jho Low memainkan peranan besar dalam skandal 1MDB yang menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan 1MDB melibatkan Najib Razak mendapati ahli perniagaan itu bertindak sebagai “proksi dan orang tengah” kepada bekas perdana menteri itu dalam urusan 1MDB.
“Mereka yang bertanggungjawab dalam konspirasi global ini mesti dibawa ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan berkaitan dengannya, sama ada di Malaysia atau di mana-mana negara lain, khususnya jenayah, berlaku sehingga membawa kepada skandal ini.
“Malaysia mesti jelas serta konsisten dalam perkara ini. Atas sebab itu juga kita perlu terus menuntut supaya Jho Low dihantar pulang untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya di Malaysia,” katanya lagi.
Gobind yang juga seorang peguam kanan memberitahu, dia akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet Rabu ini supaya ia dapat dibincangkan secara terperinci.
Dia berkata, DAP berharap kerajaan dapat membuat keputusan mengenai langkah seterusnya berhubung permohonan pengampunan Jho Low selepas mesyuarat tersebut.
