Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) negeri itu bertanding di semua 36 kerusi di negeri berkenaan.

Loke berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi bahawa gabungan itu akan bertanding secara solo di semua kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.

"Secara kesimpulannya, kita sudah masuk dalam gelanggang sekarang. Pihak lain telah umumkan nak lawan 56 kerusi di Johor.

"Saya nak cadangkan kepada yang berhormat pengerusi. Kalau Johor nak lawan 56, Negeri Sembilan pun kita lawan 36.

"Kalau Johor bubar (DUN) esok, Negeri Sembilan pun kita bubar esok," kata Ahli Parlimen Seremban itu dalam ucapannya semasa konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor petang ini.

Semalam, Onn Hafiz berkata keputusan untuk bertanding secara solo dibuat selepas berunding dengan kepimpinan Umno, sekali gus menamatkan rundingan bahawa BN akan bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri.

Sebagai tindak balas, veteran DAP, Tony Pua menggesa PH untuk menetapkan garis masa bagi menamatkan gabungan Madani.

Dia menegaskan bahawa tiada sebab untuk mempercayai pemimpin Umno yang mengatakan keputusan di Johor tidak akan menjejaskan kerjasama persekutuan, sambil menambah bahawa adalah lebih bermaruah bagi PH bertanding menentang BN, walaupun kemenangan tidak dijamin.

Walau bagaimanapun, di konvensyen itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pertembungan di Johor tidak akan menjejaskan hubungan di peringkat persekutuan.

Walaupun BN dan PH adalah sekutu di peringkat persekutuan, setelah bersatu untuk membentuk kerajaan perpaduan pasca pilihan raya umum 2022, ia tidak sama di Johor, dengan BN memegang majoriti kerusi negeri.

BN merampas 40 daripada 56 kerusi DUN dalam pilihan raya mengejut 2022, memperoleh majoriti dua pertiga disebabkan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah, membolehkannya membentuk kerajaan negeri tanpa PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS