mk-logo
Berita
Akmal: Sampai masa BN keluar k'jaan, PH nak kuburkan Umno
Diterbitkan:  May 18, 2026 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menyelar kenyataan ketua Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan yang berharap Umno “dikuburkan” pada pilihan raya negeri akan datang, sambil menegaskan soal itu bukan untuk ditentukan mana-mana pihak.

“Bila Barisan Nasional umumkan nak bertanding semua DUN di Johor yang paling meroyan puak-puak mereka pula.

“Sepatutnya kamu patut bergembira kerana kamu boleh bertanding di banyak kerusi seperti sebelum ini yang kamu idamkan.

“Nak kuburkan Umno? Kita jangan melebihi kuasa Allah.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan.

“Biar rakyat yang buat keputusan, kita berusaha dan serahkan pada Allah.

“Alang-alang nak kuburkan Umno, rasanya dah sampai masa juga Umno keluar jer dari kerajaan perpaduan ini,” katanya pada satu kenyataan di media sosial.

Semalam, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan menegaskan pakatan tersebut boleh “menguburkan” BN buat kali kedua.

Berucap di Konvensyen PH Kebangsaan di Johor, Aminolhuda yang juga pengerusi Amanah negeri berkata, keyakinan tersebut dibuat selepas Menteri Besar Onn Hafiz itu memberi isyarat jelas bahawa tiada lagi ruang kerjasama politik BN dengan PH.

Katanya, Johor memang merupakan kubu kuat Umno namun keputusan PRU lapan tahun lalu juga menunjukkan parti itu boleh dikalahkan di tempat kelahirannya sendiri.

Hubungan di antara PH dengan BN Johor memang dilihat masih renggang dengan kedua-dua blok saling menghantar isyarat yang mereka tidak senang antara satu sama lain.

Semalam hubungan itu terus renggang ekoran pengumuman BN Johor – yang dibuat sendiri oleh Onn Hafiz – bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 56 kerusi DUN apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan nanti.

Keputusan itu bermaksud, tiada lagi kerjasama di antara BN dan PH di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

Kali terakhir Johor mengadakan PRN ialah pada 12 Mac 2022. Ketika itu PRN dijalankan berasingan walaupun dalam hampir semua keadaan, ia dibuat bersekali dengan PRU di seluruh negara.

DUN Johor akan terbubar secara automatik sekitar Disember ini. Namun biasanya kerajaan akan membubarkan DUN lebih awal bagi membuka laluan kepada PRN.

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS