Keputusan kes pengubahan wang haram berprofil tinggi membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, isterinya dan bekas timbalan pengarah jabatan itu dijadual diputuskan di Mahkamah Sesyen Kinabalu hari ini.
Hakim Abu Bakar Manat dijangka menyampaikan keputusan sama ada Ag Mohd Tahir, 63; Fauziah Piut, 61; serta Lim Lam Beng, 72; dibebaskan atau disabitkan atas pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.
Lelaki itu berdepan 12 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan, selain kedua-duanya turut berdepan dua pertuduhan bersama atas kesalahan yang didakwa dilakukan di Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Okt hingga 4 Nov 2016.
Lim pula berdepan empat pertuduhan atas kesalahan yang didakwa dilakukan di Kota Kinabalu antara 13 Okt hingga 8 Nov 2016. Semua tertuduh mengaku tidak bersalah semasa didakwa pada 28 Dis 2016.
Perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dan berpanjangan susulan beberapa permohonan serta pandemik Covid-19, sebelum pihak pendakwaan menutup kes pada 16 Mei 2024 selepas memanggil lebih 40 saksi. Tertuduh kemudian diarahkan membela diri pada 4 Dis 2024.
Pihak pembelaan pula memanggil 15 saksi, termasuk ketiga-tiga tertuduh, sebelum mahkamah selesai mendengar hujahan penutup baru-baru ini.
Sepanjang perbicaraan, Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili barisan peguam diketuai Ansari Abdullah, manakala Lim diwakili peguam Tan Hock Chuan bersama pasukannya.
Pendakwaan dikendalikan Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah serta Zander Lim selaku timbalan pendakwa raya.
- Bernama
