Sebanyak 1.9 juta kenderaan dijangka memasuki dan melalui Pulau Pinang sepanjang sambutan Aidiladha serta cuti panjang bermula 27 Mei hingga 2 Jun ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata ia sekali gus mendorong pihak berkuasa mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan trafik di seluruh negeri itu.
Katanya peningkatan ketara aliran trafik dijangka berlaku susulan pergerakan orang ramai yang pulang ke kampung sempena cuti umum melibatkan Aidiladha, Hari Wesak serta Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
"Pulau Pinang merupakan antara destinasi pelancongan utama negara dan laluan strategik pengguna, jalan raya dijangka menerima aliran trafik yang tinggi sepanjang tempoh cuti.
“Bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap optimum, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM akan mempergiat operasi pemantauan serta penguatkuasaan di lokasi tumpuan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Azizee berkata PDRM mengekalkan konsep penugasan perkhidmatan pencegahan dan penguatkuasaan menyeluruh (pre-emptive services and total enforcement) yang memberi penekanan kepada tindakan awal serta langkah pencegahan proaktif.
Katanya pendekatan itu diambil bagi mengurangkan kesesakan serta risiko kemalangan jalan raya sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut Azizee tumpuan turut diberikan kepada kawasan kerap berlaku kemalangan dan kawasan kesesakan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.
“Selain itu, tumpuan juga diberikan terhadap daerah yang menyumbang kemalangan maut tertinggi dan kawasan kesesakan seperti Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara, Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah, Jalan Besar Simpang Empat di Seberang Perai Selatan, dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu,” katanya.
Dia memaklumkan sebanyak 145 pegawai dan anggota JSPT Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam operasi itu dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Pengangkutan Jalan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Plus.
Azizee berkata tindakan penguatkuasaan serta-merta akan diambil terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar.
- Bernama
