Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kolam takungan DBKL - SPRM sahkan tiada unsur rasuah, ceroboh
Diterbitkan:  May 26, 2026 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

SPRM mengesahkan tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan, atau salah guna kuasa dalam proses pemberimilikan enam kolam takungan banjir dan perintah pembangunan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju di ibu negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Katanya, pihak SPRM mendapati perizaban kolam takungan banjir tersebut telah diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan semasa pemberimilikan tanah berkenaan.

“Terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan ini diambil. Namun, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap semua proses pemberimilikan dan perintah pembangunan melalui semakan dokumen serta rakaman keterangan saksi-saksi terlibat termasuk dari pemaju yang terlibat.

“SPRM juga telah mengadakan lawatan ke tapak kawasan kolam takungan banjir tersebut dan juruukur yang dilantik telah mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan yang bermula sejak tahun 2021 itu susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2, yang mendedahkan enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan kediaman dan bercampur.

Kolam takungan banjir terlibat ialah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa.

Kolam Nanyang, Kolam Delima dan Kolam Taman Wahyu dikenali sebagai Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang (KTBSJ) terletak berhampiran Sungai Jinjang meliputi kawasan seluas 38.64 kilometer (KM) persegi dengan kapasiti penyimpanan sehingga 2.5 juta meter padu air.

Berikutan kelewatan itu, Yeo berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2016 bersetuju membatalkan kelulusan perizaban asal bagi membolehkan pemberimilikan tanah seluas 80 ekar kepada pemaju dengan bayaran premium RM214 juta.

Bagaimanapun, semakan dokumen, rakaman keterangan saksi, serta lawatan tapak oleh juruukur yang dilantik mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju.

Sebagai langkah pembetulan, SPRM menggesa DBKL memastikan semua kelulusan pembangunan masa hadapan mengambil kira risiko banjir melalui proses penilaian yang lebih ketat.

Yeo berkata, dia dimaklumkan SPRM berhubung perkara berkenaan pada pertemuan dan kunjungan serta taklimat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman bersama pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Selain itu, menurutnya, SPRM turut memuji tindakan DBKL yang menghentikan serta-merta semua kelulusan kebenaran merancang (KM) di kawasan kolam takungan banjir.

JWP kini telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mempercepatkan proses pewartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan demi kesejahteraan warga kota.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS