Wartawan kanan Malaysiakini B Nantha Kumar menerima penghargaan pada majlis apresiasi pengamal media Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya malam tadi sempena ulang tahun ke-15 suruhanjaya itu.
Nantha, yang membongkar beberapa laporan berprofil tinggi melibatkan rasuah dalam kalangan anggota agensi penguatkuasaan dan isu hak asasi manusia, menerima penghargaan itu bersama 12 lagi wartawan dari pelbagai organisasi media tanah air.
EAIC memaklumkan majlis itu diadakan bagi mengiktiraf peranan penting mereka dalam memperluas liputan serta meningkatkan kesedaran awam berkaitan pencegahan salah laku dan pengukuhan integriti negara.
Bertemakan “Erat” (Encouraging Responsibility, Accountability and Trustworthiness), majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar serta menghimpunkan hampir 350 tetamu termasuk kepimpinan tertinggi EAIC, agensi penguatkuasaan, agensi rakan strategik dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Anugerah ini menjadi bukti kepada kerja yang kami lakukan di Malaysiakini berlandaskan semangat kebenaran dan akauntabiliti.
“Saya benar-benar berbesar hati menerima penghargaan ini dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada wartawan muda yang bercita-cita tinggi untuk memahami kepentingan Institusi Keempat kepada sesebuah negara,” kata Nantha.
Pada majlis sama, 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC turut menerima anugerah penghargaan khas atas komitmen mereka dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus.
Pengerusi EAIC Ismail Bakar pada satu kenyataan berkata majlis itu bukan sekadar program penghargaan tetapi manifestasi komitmen berterusan semua ketua jabatan dalam memperkukuh budaya integriti dalam sektor penguatkuasaan.
Dia menegaskan prinsip “justice delayed is justice denied” (keadilan yang tertangguh ialah keadilan yang dinafikan) sebagai prinsip teras panduan dalam melaksanakan amanah kepimpinan.
Ismail berkata agensi penguatkuasaan perlu memikul tanggungjawab dengan tahap akauntabiliti lebih tinggi serta impak yang jelas, dan setiap teguran, syor serta dapatan tidak boleh sekadar kekal dalam bentuk laporan tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan pembetulan yang nyata dan berkesan.
