Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mencadangkan nama dua menteri yang dikaitkan sebagai musuh politik beliau sebagai calon pilihanraya umum ke-12 ini.

radzi sheikh ahmad azmi khalid Menurutnya, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (kiri) yang juga Setiausaha agung Umno dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid (kanan) adalah calon yang sangat berwibawa untuk dicalonkan semula.

"Walaupun saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno tidak dicalonkan semula namun saya akan tetap mencadangkan nama mereka supaya dicalonkan," katanya kepada pemberita hari ini.

Radzi yang juga ahli Parlimen Kangar sering dikaitkan sebagai musuh politik Shahidan dan tidak sehaluan dalam beberapa hal begitu juga Azmi yang merupakan anggota parlimen Padang Besar, demikian menurut Bernama.

shahidan kassim Shahidan berkata, setiap bahagian Umno telah menyenaraikan calon yang terdiri daripada penyandang dan muka baru untuk dicalonkan bertanding pada pilihanraya ini tetapi senarai itu adalah rahsia dan tidak akan diumumkan.

"Saya tidak tahu sama ada Radzi dan Azmi dicalonkan oleh bahagian masing-masing atau tidak. Itu hak bahagian," katanya pada masa ini mereka tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian.

Jawatankuasa penasihat

Sebelum ini, Radzi adalah Ketua Umno bahagian Kangar sebelum memberi laluan kepada Ahmad Bakri Ali manakala Azmi memberi laluan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Beseri Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai ketua Umno bahagian Padang Besar.

Ditanya sama ada beliau berhak untuk mencadangkan nama itu, Shahidan yang juga Ketua Umno bahagian Arau berkata bahawa kuasa bahagian hanya mencalonkan tetapi Badan Perhubungan Umno dan Presiden Umno yang berhak memilih.

Baru-baru ini, hubungan Radzi dan Shahidan menjadi panas apabila Setiausaha Agung Umno itu mencadangkan rombakan kepimpinan Umno Perlis termasuk penyandang jawatan Menteri Besar Perlis.

Azmi pula dikatakan membangkitkan isu pencemaran sungai sedangkan Shahidan menafikan wujud pencemaran sebagaimana yang didakwa.

Bagaimanapun Shahidan berkata, Umno Perlis adalah mantap malah beliau tetap merasakan hubungannya dengan Radzi dan Azmi adalah baik.

Shahidan juga telah mengumumkan pelantikan Radzi dan Azmi menduduki jawatankusa penasihat Umno Perhubungan negeri.

Turut menduduki jawatankuasa itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara yang juga bekas Menteri Besar Perlis Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh serta Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail.