Suruhanjaya tolak klip video 'segmen ketiga'
Suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini memutuskan untuk tidak menerima 'segmen ketiga' klip video yang didedahkan Isnin lalu.
Klip selama lima minit itu, yang menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterimanya Jumaat lalu, menunjukkan peguam Datuk VK Lingam sedang berbual dan mendedahkan lebih banyak dakwaan rasuah dalam badan kehakiman.
Ini termasuk dakwaan bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah menerima rasuah dari Lingam dan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan.
Suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini memutuskan untuk tidak menerima 'segmen ketiga' klip video yang didedahkan Isnin lalu.
Klip selama lima minit itu, yang menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterimanya Jumaat lalu, menunjukkan peguam Datuk VK Lingam sedang berbual dan mendedahkan lebih banyak dakwaan rasuah dalam badan kehakiman.
Ini termasuk dakwaan bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah menerima rasuah dari Lingam dan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan.
Anggota suruhanjaya diraja itu, Datuk Mahadev Shankar bagaimanapun berkata, pihaknya - yang menyiasat klip sebelum ini selama 14 minit - tidak dapat menerima klip terbaru itu sebagai bukti kerana ia tidak termasuk dalam terma rujukannya.
Keputusan itu dibuat selepas peguam Hazman Ahmad, yang mewakili bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dan peguam M Puravalen, yang mewakili Anwar, berhujah menggesa suruhanjaya diraja menerima klip video tersebut.
Dalam hujahnya, Hazman berhujah, klip terbaru itu perlu diterima kerana ia membuat rujukan kepada percutian Eusoff dan Lingam ke New Zealand pada 1994.
“Suruhanjaya telah membenarkan soalan mengenai (percutiaan) New Zealand dikemukakan bagi membuktikan keakraban (Eusoff dan Lingam) walaupun ianya tidak sebut dalam klip pertama dan kedua," katanya.
Bukti 'belum diuji'
Ini mencetuskan perdebatan apabila Mahadev menolak pemintaan Hazman itu.
Mahadev: Ini bukan dalam mandat kita, kita tidak boleh mempertimbang bahan-bahan lain yang tidak relevan dengan siasatan kita. Mengapa kita mesti melihatnya?
Hazman:
Ini relevan dengan terma rujukan. Suruhanjaya telah membenarkan soalan mengenai percutian ke the New Zealand untuk membuktikan keakraban (mereka) dan kini terdapat klip video ketiga yang membuat rujukan secara langsung mengenainya.
Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohd Noor:
Adakah ia di bawah terma rujukan kita?Hazman: Ya!
Haidar: (Biarlah) satu persatu!
Ketika Hazman mengulangi hujahnya itu, Mahadev kelihatan tidak senang dengan sikap peguam tersebut.
Mahadev: Anda lihat masalahnya? Klip pertama telah dihantar ke CyberSecurity Malaysia untuk disemak ketulenannya dan terdapat banyak soalan teknikal perlu diputuskan sebelum kita membenarkan soalan dikemukakan. Kita tersangkut dengan terma rujukan (sekarang). (Dalam nada suara yang agak tinggi) seseorang tiba-tiba muncul dan menunjukkan klip video ketiga kepada kita, mengapa kita perlu melihatnya?. Encik (R) Thayalan, apakah anda apa-apa nak cakap mengenainya? Pelanggan anda supaya mengatakan ia mungkin beliau, mungkin bukan beliau, ia boleh jadi orang lain...
Mahadev menegaskan bahawa klip terbaru itu "belum diuji" dan mengarahkan supaya transkrip kandungan klip video ketiga itu, yang dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut, ditarik balik.
“Kita tidak menerima klip video ketiga itu," katanya.
Puravalen juga berhujah sebelum itu bahawa Anwar "lebih daripada bersedia" untuk memberi keterangan mengenai klip tersebut dan menjelaskan soalan suruhanjaya itu mengapa bekas timbalan perdana menteri itu baru mendedahkannya Isnin lalu.
Semalam, Dzaiddin melalui peguamnya telah memaklumkan kepada suruhanjaya tersebut bahawa beliau bersedia untuk menjawab sebarang soalan berhubung dakwaan terhadapnya dalam klip video tersebut.
'Menghina prosiding'
Sementara itu, di permulaan siasatan hari ini, suruhanjaya itu berkata, dua artikel dalam Malaysiakini semalam berunsur menghina siasatan yang sedang berjalan.
Artikel pertama merupakan sepucuk surat tulisan Presiden Aliran, P Ramakrishnan bertajuk ‘Lingam inquiry: We’re shocked and devastated’, yang mengkritik keputusan suruhanjaya tidak memanggil Anwar sebagai saksi.
Manakala artikel kedua adalah berita bertajuk ‘Unseen hand’ manipulating inquiry' yang ditulis berdasarkan sidang akhbar Anwar semalam yang juga mengkritik keputusan suruhanjaya itu tidak membenarkan beliau memberi keterangan.
“Kedua-dua kenyataan itu berunsur penghinaan terhadap suruhanjaya ini," kata Mahadev ketika beliau membaca sekali lagi keputusan suruhanjaya itu minggu lalu mengenai mengapa ia tidak memanggil ketua umum PKR itu sebagai saksi.
Beliau meminta peguam yang mewakilil Aliran dan Anwar supaya memberi nasihat kepada pelanggan mereka berhubung keputusan suruhanjaya tersebut dan mengarahkan pindaan dibuat.
“Satu-satunya tangan yang kami ada di sini adalah tangan yang Tuhan berikan kepada kami. Inilah tangan yang akan kami akan gunakan (untuk menjalankan siasatan tersebut)," kata Mahadev.
"Setakat ini (mengenai) ketiga-tiga pemimpin PKR itu, apa yang kita lihat mengenai apa yang mereka ingin nyatakan dalam siasatan ini terkandung dalam hujah ringkas oleh Puravalen, empat atau lima halaman, rujukan ini tidak mencukupi untuk kita membuat keputusan mengenainya.
“Jika mereka mahu memberi keterangan, kita perlukan butir-butir bukti mengenai apakah sebenarnya bukti yang mereka ingin berikan," tegas Mahadev.
Puravalen pula menjawab, tidak ada garispanduan yang diberikan ketika beliau diminta mengemukakan sinopsis kenyataan saksi-saksinya.
Ditangguh hingga Isnin
Prosiding hari ini bermula jam 3.20 petang dan berakhir jam 5 petang apabila suruhanjaya memutuskan untuk menyambungnya Isnin depan.
Adik lelaki Lingam, Thirunama Karasu dijangka dipanggil memberi keterangan minggu depan.
Bagaimanapun, Majlis Peguam telah memaklumkan kepada suruhanjaya itu untuk memanggil peguam terkemuka Datuk Mohd Shafee Abdullah - yang menyimpan negatif gambar percutiaan ke New Zealand - sebagai saksi. Bagaimanapun, belum ada keputusan dibuat mengenainya.
Hari ini adalah hari ke-12 siasatan suruhanjaya diraja itu dijalankan. Berita asal

