Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
2 mangsa kemalangan Simpang Renggam penerima pertama Lindung 24 Jam

Dua pemandu kenderaan yang cedera dalam kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor menjadi individu pertama menerima manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa semalam.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, merupakan pencarum aktif di bawah Akta 4 yang melayakkan mereka menerima bayaran cuti sakit serta faedah kecacatan kekal di bawah skim itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata Husnizam yang cedera di bahu dan tangan manakala Muhammad Amirul di mulut, layak menerima rawatan implan, peralatan pemulihan serta rehabilitasi tanpa had mengikut keperluan.

“Ramai memahami Perkeso memberi perlindungan apabila kemalangan di tempat kerja atau semasa bertugas. Namun melalui LINDUNG 24 Jam, perlindungan sosial diperluas kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti.

“Tragedi ini membuktikan musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi. LINDUNG 24 Jam memastikan pencarum dan keluarga mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berhadapan kesukaran,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial lebih meluas di Malaysia termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

Selain itu, Mohammed Azman berkata waris kepada tiga mangsa kemalangan yang meninggal dunia juga layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja).

Beliau berkata Skuad Perkeso Prihatin telah digerakkan dengan serta-merta untuk menyemak maklumat semua mangsa dan membuat lawatan bagi menyalurkan bantuan LINDUNG 24 Jam dengan segera.

Walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja, beliau berkata waris mangsa masih dilindungi oleh Perkeso berdasarkan kelayakan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata pelaksanaan LINDUNG 24 Jam yang diperluas tanpa mengira waktu dan lokasi memastikan Orang Berinsurans yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mendapat pembelaan sewajarnya sekali gus menutup kelompangan sebelum ini.

Menerusi kenyataan sama, Mohammed Azman mewakili Perkeso mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Ini membuktikan setiap caruman dibuat pencarum Perkeso tidak pernah sia-sia, ia akan digunakan untuk membantu mereka yang lain ketika ditimpa musibah.

“Inilah objektif utama Perkeso memperkenalkan inisiatif LINDUNG 24 Jam. Kita mahu menyediakan benteng keselamatan sosial yang mampan dan utuh apabila musibah melanda tanpa diduga,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Simpang Renggam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS