Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar kerajaan membenarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

khalid ibrahim Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Parlimen seharusnya dibubarkan pada 15 April untuk membolehkan bekas timbalan perdana menteri bertanding.

"Saya mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan Anwar bertanding setelah haknya dinafikan dalam pilihanraya umum 1999 dan 2004.

"Anwar tidak akan lari dan dia telah menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam pilihanraya umum kali ini," katanya dalam sidang media mingguan di ibu pejabat parti di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah Bendahari Agung PKR, William Leong dan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lau Teik Hai.

anwar ibrahim 060207 Abdul Khalid berkata, jika kerajaan mengadakan pilihanraya sebelum 15 April ini, ia membuktikan Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) takut kepada pengaruh Anwar.

Katanya, pemimpin Umno sendiri mengatakan mereka sedia menghadapi Anwar dalam pilihanraya umum.

P'raya adil

"Berilah peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin terbaik dalam parti mereka," katanya sambil menambah hukuman penjara enam tahun ke atas Anwar pada 1999 merupakan tahanan politik.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada 1999 kerana didakwa terbabit dengan kesalahan salahguna kuasa dan dibebaskan pada 2004.

Menurutnya, PKR juga meminta Perdana Menteri mengadakan pilihanraya secara adil dan terbuka serta saksama untuk kebaikan negara.

Dalam sidang media itu, Abdul Khalid juga ditanya mengenai kenyataan Anwar bahawa beliau akan bertanding dalam pilihanraya kecil untuk menjadi ahli Parlimen.

"Pilihanraya kecil hanya merugikan rakyat, kerajaan dan negeri. Tetapi jika PKR menang besar, parti akan memikirkan bagaimana Anwar akan menjadi ahli Parlimen," katanya.

Mengulas perkara tersebut, William berkata, bukan sahaja Anwar berhak bertanding, sebaliknya rakyat pula boleh memilih pemimpin terbaik.

Katanya, ini hanya boleh dilakukan dalam pilihanraya dan mengapa rakyat tidak diberi peluang tersebut.