Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Industri pelancongan Terengganu makin kukuh - Exco
Diterbitkan:  Jun 4, 2026 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Hampir satu juta pelancong mengunjungi Terengganu pada musim cuti bersempena dengan Aidiladha bermula pada 22 Mei hingga 1 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata jumlah pelancong itu berdasarkan rekod kemasukan melalui plaza tol di Terengganu, iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak 419,183 kenderaan dalam tempoh sama.

Beliau berkata jumlah pelancong itu tidak termasuk motosikal serta kemasukan melalui jalan Persekutuan dari Besut dan Kemaman serta di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

"Berdasarkan unjuran semasa jumlah kehadiran pelancong sempena musim cuti Aidiladha tahun ini dianggarkan melebihi 943,161 orang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam ( (CEPA) Denai Sungai Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Taman Tasik Tanjung Sura, di Dungun hari ini.

Razali berkata kehadiran pengunjung itu telah merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu dan memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat.

Selain itu beliau berkata walaupun sebahagian daripada pengunjung berkenaan merupakan anak tempatan yang tinggal di negeri lain, namun mereka tetap berbelanja termasuk tempahan hotel dan inap desa serta makan sepanjang tempoh cuti tersebut.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mendapatkan jumlah keseluruhan perbelanjaan setiap pelancong yang bercuti di negeri itu.

"Sebanyak 20 peratus daripada jumlah pelancong tersebut merupakan pelancong luar negara, iaitu dari China, Singapura dan Thailand,” katanya.

Razali berkata pihaknya yakin sasaran kehadiran pelancong di Terengganu pada tahun ini, iaitu sebanyak sembilan juta orang dapat dicapai memandangkan negeri itu telah merekodkan 2.45 juta pelancong bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS