Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Jun ini untuk mendengar rayuan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar RM1.35 juta kepada Penasihat DAP Lim Guan Eng dalam saman fitnah berkaitan isu pembatalan pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.
Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Lim, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan akan mendengar secara bersama rayuan Muhyiddin dan rayuan balas Lim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan faedah penghakiman.
Guok berkata prosiding pengurusan kes berkaitan rayuan Muhyiddin berlangsung di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin manakala kes Lim didengar oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz.
Pada November 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Lim terhadap Muhyiddin dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membayar RM350,000 bagi setiap kenyataan fitnah yang membawa kepada jumlah RM1.05 juta sebagai ganti rugi am, RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM150,000 sebagai ganti rugi teladan.
Hakim Roz Mawar Rozain juga mengarahkan Muhyiddin supaya segera menarik balik ketiga-tiga kenyataan fitnah daripada semua akaun media sosialnya dan mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang beliau daripada mengulangi kenyataan tersebut.
Pada 27 Mac 2023, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa membuat kenyataan fitnah terhadapnya di Facebook pada 9, 11, dan 12 Mac tahun sama yang melibatkan beliau dalam isu pengecualian cukai.
Laporan mengenai perkara itu telah diterbitkan di beberapa akhbar dan portal berita.
Roz Mawar membuat keputusan itu selepas mendapati Lim, yang juga bekas Menteri Kewangan, telah membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin.
- Bernama
