Keputusan sama ada PAS akan terus bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya dijangka akan diketahui Isnin ini.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata sebelum ini Majlis Syura Ulama PAS sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.
Katanya hal tersebut – serta isu lain – akan dibincangkan oleh badan tersebut lusa.
“Isnin ini insya-Allah akan bincang semua,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha mingguan di Marang, Terengganu.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan yang Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan isu hala tuju PN dan konflik dalaman gabungan itu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan.
Setiausaha badan itu, Nik Zawawi Salleh, berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju PN dalam membawa agenda penyatuan ummah.
"Dalam hal ini, Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok.
"Sehubungan itu, Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, "selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti," katanya.
Pendirian itu diambil selepas PAS dan Bersatu saling serang menyerang dengan lebih ketara akhir-akhir ini.
Antara lain ekoran kenyataan terbuka dibuat Abdul Hadi terkait kemelut yang melanda di Perlis, serta keberadaan jentera pilihan raya Bersatu.
Sementara itu mengulas mengenai pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di Johor dan Negeri Sembilan, Abdul Hadi menjelaskan PAS akan mengkaji kesesuaian meletakkan seseorang calin berdasarkan taklimat yang diberikan.
Pada dasarnya, tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi, PAS akan bertanding tetapi keputusan tetap dibuat mengikut kesesuaian pengaruh, peluang dan calon – yang “ramai tokoh” dalam kalangan parti itu.
Ditanya jika pembahagian kerusi sudah dimuktamadkan, Abdul Hadi berkata tidak semestinya PAS akan bertanding di semua kerusi DUN.
“PAS akan lihat kewajaran,” katanya.
