Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC perlukan masa teliti kertas siasatan terkait Azam Baki
Diterbitkan:  Jun 6, 2026 9:18 PM
Dikemaskini: 3:10 PM

Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dua kertas siasatan membabitkan bekas pegawai tertingi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang diterima daripada polis pada Khamis lepas.

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat memandangkan AGC memerlukan sedikit masa bagi meneliti dokumen berkenaan.

"Kedua-dua kertas siasatan terbabit kami terima pada Khamis lalu dan AGC masih lagi meneliti kertas-kertas siasatan tersebut. Belum ada apa-apa keputusan dibuat setakat ini mengenainya.

“Sedikit masa diperlukan untuk penelitian dibuat bagi apa jua penentuan mengenai kedudukan siasatan berkenaan. Once (sebaik sahaja) penelitian selesai dijalankan oleh AGC, apa-apa jua keputusan akan diambil kelak.

Let us study the matter thoroughly (Biarkan kami teliti perkara ini dengan mendalam)," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata dua kertas siasatan melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dirujuk kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.

Pada Rabu lalu, Kumar berkata PDRM telah merakam keterangan Azam mengikut peruntukan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.

Katanya kes pertama membabitkan siasatan berhubung laporan artikel Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah tentang pemilikan saham Velocity Capital Partner Bhd.

Kes kedua pula berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS