Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: BN sedia berdepan PH pada PRN Johor, Negeri Sembilan

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu bersedia berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Berucap di majlis pelancaran jentera PRN Johor ke 16 di Kota Iskandar, Johor Bharu, hari ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata BN tidak melihat perkara tersebut sebagai masalah dan bersedia untuk berdepan di medan demokrasi.

“Ada pihak (dalam PH) yang berkata jika DUN Johor dibubarkan hari ini, maka mereka akan membubarkan DUN Negeri Sembilan pada hari berikutnya.

“Dan jika (BN) bertanding di semua 56 kerusi di Johor, maka mereka akan bertanding 36 kerusi (di Negeri Sembilan) juga.

“Silakan, kita jumpa di gelanggang,” katanya.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan berkuat kuasa serta-merta pada 1 Jun lalu selepas Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memperkenankan pembubarannya.

Tiga hari kemudian, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN negeri itu dalam satu sidang media yang diadakan lewat malam.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dan pada PRN ke 15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.

Dua minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berikrar bahawa PH akan melakukan langkah sama di Negeri Sembilan.

Ini berlaku sehari selepas Onn Hafiz mengisytiharkan BN akan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri Johor akan datang.

Sementara itu, tanpa menyebut PH secara langsung, Ahmad Ahmad Zahid menyindir pihak yang didakwanya cuba memperkecilkan pencapaian BN.

“Kita mahu ingatkan mereka bahawa tanpa 30 Ahli Parlimen BN, mereka tidak akan memperoleh 120 kerusi yang diperlukan untuk mengangkat sumpah perdana menteri.

“Hakikatnya, sumbangan BN tidak boleh dipadamkan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyindir Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dengan mendakwa dia hanya mula bercakap mengenai perpaduan menjelang pilihan raya serta selepas kedudukan politiknya lemah.

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, Ahmad Zahid merujuk kepada seorang presiden parti dari Johor dan mendakwa rakyat negeri itu tidak lagi mempercayai pemimpin tersebut.

Dia bagaimanapun menegaskan pintu Umno sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang benar-benar ingin berdamai dan bersatu.

“Jika benar-benar ikhlas mahu bersatu, buka pintu rumah kamu, buka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya.

“Insya-Allah, apa yang telah berlaku, biarlah berlalu,” katanya.

Pada Januari lalu, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan “Rumah Bangsa” Umno bagi memperkukuh perpaduan politik Melayu, termasuk membuka ruang kepada bekas ahli dan kumpulan yang pernah meninggalkan parti.

Bulan lalu, media elaporkan Muhyiddin berkata 11 parti pembangkang di bawah gabungan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) mungkin bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional pada PRN Melaka akan datang.

IPR terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Muda, Berjasa, Pejuang, Putra, Malaysian Advancement Party, Malaysian Indian People’s Party, National Indian Muslim Alliance Party dan Urimai


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS