Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Putus kerjasama Bersatu: Belum bincang langkah susulan - PAS Perlis

PAS Perlis akur terhadap keputusan PAS Pusat menghentikan kerjasama dengan Bersatu seperti yang diumumkan malam tadi, namun berkata belum ada perbincangan di peringkat negeri berhubung ketetapan itu.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Zahid Ibrahim berkata setakat ini, belum ada sebarang perbincangan di peringkat negeri berhubung langkah susulan yang akan diambil susulan ketetapan itu.

“PAS Perlis terima dan akur keputusan PAS Pusat.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada apa-apa perbincangan di peringkat PAS Perlis berhubung ketetapan tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian negeri itu berhubung ketetapan yang dibuat PAS Pusat, malam tadi.

Diminta mengulas lanjut, Zahid berkata PAS Perlis akan segera berbincang berhubung perkara tersebut dan akan mengumumkan setiap keputusan mahupun pendekatan yang akan diambil dalam masa terdekat.

Malam tadi Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat dengan mandat majlis syura ulamanya membuat keputusan memutuskan kerjasama mereka dengan Bersatu.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan media selepas mesyuarat tersebut berakhir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, pula pagi tadi menjelaskan keputusan itu adalah “ubat pahit yang perlu ditelan” demi kemaslahatan lebih besar.

Dia berkata, keputusan berkenaan tidak dipengaruhi sentimen atau kepentingan jangka pendek.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memberi penekanan bahawa PAS dan Bersatu tidak lagi boleh terus berada “di bawah payung yang sama” berikutan keputusan yang dibuat semalam.

Komposisi DUN Perlis yang mempunyai 15 Adun keseluruhan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai 11 kerusi ketika ini melalui enam wakil PAS dan lima wakil Bersatu, Pakatan Harapan (PH) mempunyai satu kerusi, manakala tiga kerusi kosong selepas tiga penyandangnya digantung keanggotaan oleh PAS.

Enam wakil PAS adalah Mohd Shukri Ramli (Sanglang), Haziq Asyraf Dun (Beseri), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer), Mohammad Azmir Azizan (Santan) dan Asrul Aimran Abdul Jalil (Kayang), manakala lima Bersatu pula adalah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) serta Marzita Mansor (Sena).

Satu kerusi dari PKR, Gan Ay Ling (Indera Kayangan) dan tiga kerusi yang dikosongkan itu membabitkan DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS