Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tok batin, wakil Orang Asli lapor polis isu dakwaan sorok Jaslinda

Kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis hari ini bagi membantah dakwaan serta fitnah yang tular dalam media sosial terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu Mohd Asmmadi Abdullah, berhubung penemuan pendaki wanita Jaslinda Saludin di kawasan Gunung Batu Putih baru-baru ini.

Tok Batin KOA Lata Kinjang, Rani a/l Bah Ulin berkata laporan itu dibuat susulan penyebaran kandungan video oleh seorang pengguna media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik Mohd Asmmadi serta institusi kebatinan Orang Asli.

Rani berkata pihaknya kesal dengan tuduhan kononnya Mohd Asmmadi menyembunyikan atau menyimpan Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum ditemukan penduduk Orang Asli di kawasan berdekatan KOA Lubuk Gaharu.

“Dakwaan itu tidak berasas dan amat mengguris perasaan masyarakat Orang Asli seolah-olah dianggap kami ini masyarakat yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

"Kami melihatnya sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi tetapi juga kepada seluruh institusi kebatinan, yang selama ini berperanan membantu masyarakat tanpa mengira kaum, terutama ketika berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini.

Terdahulu tular satu video dalam media sosial TikTok, yang mendakwa Jaslinda telah 'disimpan' oleh tok batin selama dua minggu dan jika perkara terbabit tidak tular berkemungkinan tok batin akan berkahwin dengan Jaslinda.

Sementara itu, wakil belia Orang Asli Eris Joshan a/l Chew Ho Beng, 22, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit yang jelas menjejaskan imej tok batin yang terlibat dalam operasi pencarian, malah memberikan gambaran buruk terhadap seluruh masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Tok Batin merupakan pemimpin masyarakat yang dihormati dan menjadi tonggak kepimpinan komuniti Orang Asli, sebarang penghinaan terhadap mereka secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh masyarakat Orang Asli di Malaysia.

"Orang Asli juga mempunyai maruah yang perlu dihormati kerana apa yang dianggap jenaka oleh sesetengah pihak boleh menjadi satu penghinaan yang memberikan kesan kepada seluruh komuniti," katanya.

Beliau turut berharap tindakan undang-undang yang setimpal dapat diambil terhadap individu terbabit bagi memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak memperlekeh atau menghina institusi tok batin serta masyarakat Orang Asli.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS