Putrajaya melalui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di bawah ketua pengarahnya yang baru dilantik, Hisyamuddin Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz mula menggempur pengkritik kerajaan.
Ini berikutan beberapa hantaran Facebook oleh Hisyamuddin awal hari ini yang mengumumkan agensi itu akan membuat laporan polis terhadap semua pihak yang menyebarkan fitnah terhadap kepimpinan kerajaan.

“Hari ini Jkom mula menyerang. Tak ada dah defensif. Kita akan mulakan dengan membuat laporan polis terhadap kaki fitnah pimpinan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi ini.
"Kutip (tangkap) terus. Hari ini baru hari keempat,” katanya yang diumumkan memegang jawatan itu Isnin lalu.
Agensi itu tidak akan lagi memainkan peranan defensif, katanya sambil menambah perubahan pendekatan itu adalah untuk mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.
Hisyamuddin berkata dia juga sedang menyusun semula budaya kerja Jkom bagi menjadikannya “pejuang utama” di barisan hadapan mempertahankan kerajaan.
Berdasarkan hantaran di media sosialnya, antara sasaran J-Kom termasuk ahli perniagaan Albert Tei, yang merupakan pengkritik tegar terhadap Anwar dan SPRM.
Turut menjadi sasarannya ialah bekas timbalan pengarah komunikasi strategik BN Eric See-To, yang menggunakan nama akaun media sosial "Lim Sian See". See-To dikenali sebagai penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak dan adalah pengkritik lantang pentadbiran Anwar.
Malaysiakini difahamkan bahawa Hisyamuddin sendiri membuat laporan terhadap Tei pagi ini, menggesa pihak berkuasa menyiasat ahli perniagaan itu kerana didakwa mengganggu ketenteraman dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, antara kesalahan lain.
Hisyamuddin juga kemudiannya tersempak dengan Tei di luar ibu pejabat polis daerah Putrajaya selepas membuat laporan tersebut.
Tidak jelas mengapa Tei berada di sana, tetapi ahli perniagaan itu dilihat mengambil peluang untuk menyertai wartawan semasa sidang media ketua pengarah berkenaan.

Seorang wartawan yang membuat liputan acara tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa Tei kemudian mula menyoal ketua pengarah itu, memintanya menjelaskan kesalahan yang didakwa dilakukan.
Menurut wartawan itu, Syam Ghaz kemudian mencabar Tei untuk berdebat pada satu tarikh lain, serta meminta ahli perniagaan itu menyimpan soalan-soalannya sehingga waktu tersebut.
‘Dah jawab terus senyap’
Sementara itu, See-To memberitahu Malaysiakini bahawa dia bersedia untuk berdebat dengan ketua pengarah J-Kom yang baru itu dan sedang menunggu butiran daripadanya.
“Pada hari pertama dia memegang jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom, dia secara terbuka mencabar saya untuk berdebat. Saya menerima cabaran itu. Dia kemudian datang terus ke halaman Facebook saya, mengulas hantaran saya, dan meminta saya menghantar mesej peribadi kepadanya untuk mengesahkan debat tersebut.
“Saya sudah melakukan perkara itu. Saya menghantar nombor WhatsApp saya seperti yang diminta, tetapi dia tidak pernah membalas,” katanya.

Bagaimanapun, See-To mendakwa bahawa grafik yang tidak berkaitan muncul kemudiannya mendakwa dia dijadualkan berdebat dengan seseorang yang tidak pernah dia dengari.
“Selepas itu, berpuluh-puluh akaun membanjiri halaman saya dengan grafik yang sama, menuduh saya melarikan diri daripada perbincangan.
“Fakta-faktanya sangat mudah: ketua J-Kom mencabar saya pada hari pertama dia bekerja, saya terima, dia datang ke halaman saya untuk mengesahkannya, meminta butiran hubungan saya, menerimanya, dan kemudian senyap,” tambahnya.
See-To berkata jika akaun yang memuat naik grafik berkenaan mempunyai kaitan dengan J-Kom, rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada dana awam digunakan untuk melakukan spam politik yang terancang dan bukannya untuk komunikasi kerajaan yang betul.
“Saya tetap bersedia untuk berdebat dengan individu yang pada asalnya mencabar saya. Dia sudah mempunyai nombor WhatsApp saya. Langkah seterusnya adalah di pihaknya,” katanya lagi.
