Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bella tak fikir lagi tarikh kahwin, fokus kes mahkamah Syed Saddiq dulu
Diterbitkan:  Jun 15, 2026 2:07 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Bella Astillah masih belum memikirkan berkaitan perkahwinannya dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat masa ini.

“Saya tidak pasti sama ada semua sudah tahu atau sedar mengenainya, tetapi sekarang fokus utama saya adalah persediaan untuk kes Syed Saddiq pada 30 hari bulan ini.

“Mengenai tarikh pula, sebenarnya saya masih belum membuat keputusan. Seperti yang saya katakan, untuk memikirkan soal tarikh, tempat atau pakaian pun saya masih belum sempat. Saya belum boleh memikirkan perkara-perkara tersebut lagi,” katanya.

Bella berkata demikian dalam rakaman video disiarkan oleh HIBGLAM pada Konsert Bintang Universe: The Dimension yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam, semalam.

Syed Saddiq kini menunggu keputusan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya daripada tuduhan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram yang akan diputuskan pada 30 Jun ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Sehari kemudian, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 17 Disember 2025 lalu, Jabatan Peguam Negara menerusi surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa Peguam Negara mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.

Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata dia percaya orang di sekelilingnya serta orang ramai sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka.

“Bagi saya, doa itu jauh lebih penting. Selepas itu, kita lihat bagaimana keadaannya nanti.

“Kita ikut sahaja apa yang telah ditentukan, insya-Allah,” kata pelakon dan penyanyi 32 tahun itu.

Dia turut menolak andaian peminat yang menjangkakan 26 Jun 2026—atas alasan ‘tarikh cantik’— sebagai tarikh perkahwinan mereka.

“Tetapi sebenarnya, ia tidak bergantung kepada tarikh (cantik). Seperti yang saya katakan tadi, fokus saya ketika ini adalah kepada kes Syed Saddiq,” kata ibu kepada dua anak itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS