Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam perusahaan kerana disyaki terlibat dalam kartel menipu bida bagi tender pembekalan makanan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bernilai RM5.7 juta.
Pengerusi MyCC Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati kesemua perusahaan terbabit terlibat dalam perkongsian maklumat dan berpakat dalam penyediaan bidaan mereka.
Beliau berkata MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam dalam pembekalan makanan mentah, segar dan kering.
"Perusahaan-perusahaan ini didapati secara berperingkat telah melanggar seksyen 4(1) dibaca bersama seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Tender yang terjejas melibatkan nilai perolehan sebanyak RM5.7 juta," katanya.
Bagaimanapun, Idrus berkata pada peringkat ini, Keputusan Cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap perusahaan berkenaan telah melanggar Akta 712 secara konklusif.
Setakat ini, katanya, kesemua perusahaan terbabit telah dimaklumkan mengenai cadangan penalti kewangan yang akan dikenakan terhadap mereka.
“Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
“MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan,” katanya.
- Bernama
