Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia berhasrat perkukuh kerjasama pembangunan perumahan dengan S'pura - Nga

Malaysia berminat untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan perumahan bersama Singapura menerusi mobiliti bakat dan inisiatif perkongsian pengetahuan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata menerusi kerjasama dipertingkat, Malaysia berpeluang memperoleh dapatan berharga mengenai projek perumahan awamnya sendiri daripada model Singapura yang berjaya.

"Singapura terkenal dengan sistem perumahan awamnya, khususnya model HDB, serta Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

"Kami berharap pakar berkongsi pengalaman mereka dengan kami supaya kami boleh terus menambah baik inisiatif perumahan kami sendiri," katanya dalam catatan Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Nga mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura Chee Hong Tat, untuk mengkaji kemajuan serantau dan mengeratkan hubungan dua hala berhubung pembandaran mampan.

Kedua-dua menteri menilai semula projek yang sedang berjalan di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani tahun lepas dan meneroka haluan baharu untuk kerjasama dalam perumahan lestari dan teknologi pembinaan moden.

Nga turut menyuarakan sokongan padu Malaysia terhadap Singapura dalam memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2027.

Beliau melahirkan keyakinan Singapura akan terus mempelopori dan menyatukan kerjasama serantau, memperjuangkan kemampanan dan keterangkuman di tengah-tengah ketidaktentuan global.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS