Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota tentera yang terkorban dalam insiden letupan bom ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat sukar itu.
“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,’’ titah Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sultan Ibrahim turut menitahkan ATM supaya menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian selain memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian utama dan diperkukuhkan.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia memaklumkan mangsa ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD).
Kedua-dua anggota berkenaan yang cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi itu, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
- Bernama
