Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontroversi debat UEC di Facebook: Siapa 'bikin panas'

ANALISIS | Pada 9 Dis 2025, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan DAP akan bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di peringkat persekutuan.

Pengumuman itu pantas mencetuskan semula perdebatan nasional yang sudah tidak asing lagi. Tapi ini bukan kali pertama isu berkenaan kembali menjadi tumpuan politik.

Pada Januari 2020, ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan persekutuan, Nga berkata DAP tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan jika UEC tidak diiktiraf, sambil menyifatkan isu itu sebagai antara prinsip teras parti berkenaan.

Lima tahun kemudian, sijil itu sekali lagi menjadi pusat perdebatan awam.

Kali ini, isu tersebut timbul semula kurang dua minggu selepas DAP mengalami kemerosotan besar dalam pilihan raya negeri Sabah. Kenyataan Nga pada majlis kutipan dana sebuah sekolah menengah persendirian Cina menghangatkan semula perdebatan mengenai kepentingan politik UEC.

Analisis Malaysiakini terhadap 430 hantaran awam Facebook yang diterbitkan antara Disember 2025 hingga pertengahan Jun 2026 mendapati perbincangan dalam ruang politik bahasa Melayu dan Inggeris di Malaysia digerakkan oleh kumpulan pelaku berulang yang agak stabil, dengan ramai antara mereka muncul merentasi beberapa kontroversi yang berjarak beberapa bulan.

Walaupun ia tidak merakam keseluruhan perbincangan yang berlaku di ruang dalam talian berbahasa Cina, analisis itu memberi gambaran tentang bagaimana UEC menjadi isu berulang dalam perdebatan politik nasional.

Pencetus berbeza, pola sama

Bagi memahami mengapa UEC berulang kali kembali dalam perdebatan awam, Malaysiakini menganalisis 430 hantaran awam Facebook daripada dua gelombang perbincangan utama antara Disember 2025 hingga pertengahan Jun 2026.

Facebook dipilih kerana ia kekal sebagai platform penting untuk perbincangan politik, sekali gus berguna untuk menjejaki bagaimana naratif muncul dan tersebar.

Analisis itu memberi tumpuan utama kepada hantaran awam dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Walaupun beberapa hantaran berbahasa Mandarin muncul dalam set data, wacana Facebook berbahasa Cina tidak disampel secara sistematik disebabkan kekangan bahasa dalam proses pengumpulan dan pengekodan data.

Oleh itu, dapatan ini mencerminkan bagaimana UEC dibincangkan dalam rangkaian politik bahasa Melayu dan Inggeris, bukannya gambaran penuh terhadap semua wacana dalam talian mengenai isu tersebut.

Dalam rangkaian ini, UEC lebih kerap menjadi subjek pertikaian politik nasional yang melibatkan parti politik utama, kumpulan advokasi, pengulas dan organisasi media.

Justeru, analisis ini perlu difahami sebagai penelitian terhadap mobilisasi politik dan pembingkaian naratif dalam ruang bahasa Melayu dan Inggeris, bukannya ukuran pandangan awam secara keseluruhan mengenai UEC.

Gelombang pertama menyusuli desakan terbaru Nga untuk pengiktirafan UEC pada Disember 2025.

Ia menghasilkan 252 hantaran.

Gelombang kedua pula menyusuli pengumuman Kementerian Pendidikan Tinggi pada Mei 2026 bahawa graduan UEC dan tahfiz boleh memohon ke universiti awam melalui laluan yang mensyaratkan kredit dalam subjek BM dan Sejarah SPM, menghasilkan 178 hantaran lagi.

Hantaran dikenal pasti menggunakan kata kunci seperti “UEC”, “Dong Zong” dan “tolak UEC” bagi menangkap perbincangan daripada penyokong serta penentang. Setiap hantaran dikodkan secara manual sebagai anti-UEC, pro-UEC atau neutral sebelum melalui analisis naratif dengan bantuan AI bagi mengenal pasti tema dan hujah berulang.

Walaupun dicetuskan oleh peristiwa berbeza dan dipisahkan beberapa bulan, kedua-dua gelombang menghasilkan taburan pandangan yang secara umumnya hampir sama.

Dalam gelombang pertama, 75.4 peratus hantaran menentang pengiktirafan UEC manakala 14.3 peratus menyokongnya. Dalam gelombang kedua, kandungan anti-UEC merangkumi 71.3 peratus, berbanding 12.9 peratus yang menyokong pengiktirafan.

Suara sama terus kembali

Antara dapatan paling ketara dalam analisis itu ialah kekerapan pelaku sama muncul semula.

Sebanyak 24 individu, organisasi dan platform media aktif dalam kedua-dua gelombang walaupun kontroversi tersebut dipisahkan beberapa bulan dan dicetuskan oleh peristiwa berbeza.

Dalam kalangan mereka, TV Pertiwi muncul sebagai pelaku paling prolifik dalam set data itu.

Platform berkenaan menerbitkan 46 hantaran ketika gelombang pertama dan enam lagi dalam gelombang kedua, menjadikannya antara sedikit suara yang mengekalkan kehadiran berterusan merentasi kedua-dua tempoh.

TV Pertiwi dipimpin ketua eksekutif Firdaus Salleh Huddin, seorang pengulas yang dikaitkan dengan gerakan advokasi Muslim, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Menjawab dapatan Malaysiakini, Firdaus berhujah bahawa kontroversi berulang itu mencerminkan keengganan kerajaan mengambil pendirian muktamad terhadap isu berkenaan.

“Selagi kerajaan tidak berani membuat keputusan muktamad mengenai isu ini, ia tidak akan selesai,” katanya, sambil menambah tekanan awam sering mendorong respons rasmi.

Selain TV Pertiwi, ekosistem anti-UEC menghimpunkan gabungan aktivis, ahli akademik, pengulas dan pelaku politik.

Tokoh berulang termasuk Aminuddin Yahaya, Ridhuan Tee Abdullah, Anuar Ahmad dan Eric See-To, di samping rangkaian halaman Facebook berasaskan politik dan komuniti.

Suara yang dikaitkan dengan PAS dan Perikatan Nasional sangat menonjol sepanjang kedua-dua gelombang, menunjukkan penentangan terhadap UEC tidak digerakkan oleh satu organisasi semata-mata, sebaliknya oleh rangkaian lebih luas yang berulang kali aktif di sekitar isu itu.

Gabungan pro-UEC pula jelas lebih kecil dan tertumpu. Peserta paling kelihatan termasuk pemimpin DAP seperti Teo Nie Ching, penganalisis politik James Chin dan Dong Zong - badan payung bagi sekolah persendirian Cina serta pentadbir peperiksaan UEC.

Berbeza dengan kem anti-UEC yang bersandar pada rangkaian luas pengulas dan pelaku berkait advokasi, mobilisasi pro-UEC lebih tertumpu dalam kalangan tokoh politik dan organisasi pendidikan Cina.

Tumpuan ini mencerminkan skop set data yang terhad kepada hantaran Facebook bahasa Melayu dan Inggeris, serta tidak mensampel wacana berbahasa Cina secara sistematik.

Pada pandangan pertama, UEC kelihatan sebagai perdebatan mengenai kelayakan pendidikan.

Dikeluarkan oleh sekolah menengah persendirian Cina, sijil itu diiktiraf universiti di beberapa negara termasuk Singapura, Australia, United Kingdom, Taiwan dan China.

Namun, dasar pendidikan hanya merangkumi sebahagian daripada perbincangan.


BACA BERKAITAN:

PANDUANKINI | Ada apa dengan sekolah Cina


Dalam kalangan pelaku anti-UEC, tema paling lazim berkisar pada kaum dan etnik, bahasa Melayu, politik pilihan raya, kebimbangan perlembagaan serta perpaduan nasional.

Pelaku pro-UEC pula lebih memberi tumpuan kepada hak pendidikan, pendidikan bahasa ibunda, pengiktirafan institusi, kesaksamaan dan komitmen kerajaan, sering dibingkaikan melalui janji ketekalan dasar serta akses yang sama rata.

Penentang cenderung membingkaikan UEC sebagai isu identiti nasional dan integrasi, manakala penyokong membingkaikannya sebagai persoalan keadilan, pengiktirafan dan hak minoriti.

Pembingkaian pilihan raya kerap muncul dalam kedua-dua kem, menunjukkan pertimbangan politik merentasi perdebatan itu dan bukan hanya milik satu pihak.

Pelaku anti-UEC sering menggambarkan kelayakan itu sebagai sebahagian daripada agenda politik DAP atau tarikan kepada pengundi Cina, manakala penyokong membingkaikan pengiktirafan sebagai soal menunaikan komitmen manifesto dan janji kerajaan.

Secara keseluruhan, pola ini menunjukkan UEC berfungsi kurang sebagai isu teknikal pendidikan, sebaliknya sebagai proksi kepada perdebatan lebih luas mengenai identiti, perwakilan dan kenegaraan.

Kenapa perdebatan ini terus kembali?

Jika UEC menjadi lebih simbolik berbanding praktikal, mengapa ia terus muncul semula?

Chin berhujah sijil itu menduduki kedudukan simbolik dalam masyarakat Cina Malaysia, berkait rapat dengan pemeliharaan pendidikan bahasa Cina.

Walaupun hanya sebahagian kecil pelajar menduduki peperiksaan itu, kepentingannya melangkaui mereka yang terkesan secara langsung.

Bagi ramai penyokong, pengiktirafan tidak lagi terutama berkisar pada akses pendidikan, tetapi mengenai identiti budaya dan politik dalam kerangka kepelbagaian budaya Malaysia.

“Ini sebenarnya isu identiti Cina Malaysia dan pengiktirafan politik terhadap minoriti,” kata Chin.

Penganalisis politik Mazlan Ali (gambar atas) menawarkan penjelasan pelengkap, dengan menunjuk kepada jurang antara aturan dasar dan persepsi politik.

Dari sudut dasar, dia menyatakan kerajaan silih berganti telah mewujudkan laluan untuk graduan UEC memasuki universiti awam, institut pendidikan guru dan sebahagian perkhidmatan awam melalui syarat seperti BM dan Sejarah SPM.

“Penyelesaiannya sebenarnya sudah ada sejak sekian lama,” katanya.

Namun, Mazlan berhujah aturan itu tidak mengurangkan kontroversi kerana isu berkenaan sering ditafsir melalui lensa identiti, integrasi dan pembinaan negara bangsa.

“Apabila orang dengar UEC, ramai secara automatik melihatnya secara negatif. Mereka melihatnya sebagai sesuatu yang terpisah daripada sistem nasional,” katanya.

Dia menambah kontroversi itu berterusan kerana isu berkenaan berguna dari segi politik kepada pelaku yang saling bersaing.

“UEC telah menjadi label yang boleh digunakan untuk menggerakkan nasionalisme, identiti, dan idea tentang pembinaan negara bangsa,” kata Mazlan.

“Selagi pelaku politik terus menggunakan UEC untuk tujuan politik, isu itu akan terus timbul semula.”

Politik identiti

Dalam wacana Facebook bahasa Melayu dan Inggeris, pelaku sama muncul semula, naratif lazim kembali berulang, dan pembingkaian politik serupa digerakkan berkali-kali merentasi detik perdebatan berbeza.

Dalam rangkaian ini, UEC kurang berfungsi sebagai isu teknikal pendidikan, sebaliknya sebagai medan pertikaian politik dan identiti yang berulang.

Walaupun pembingkaian isu dalam komuniti bahasa lain mungkin memberi penekanan berbeza terhadap dasar pendidikan atau pengiktirafan institusi namun dapatan ini menunjukkan bagaimana isu tersebut diungkapkan dalam rangkaian politik bahasa Melayu dan Inggeris di Malaysia secara konsisten bersilang dengan perdebatan mengenai identiti, perwakilan dan kenegaraan.

Selagi persoalan lebih luas ini kekal penting dari segi politik, UEC berkemungkinan terus menjadi sumber kontroversi berulang walaupun dasar berubah.



[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS