Pemuda PAS mempertahankan usaha dakwah serta program pendaftaran saudara baru (mualaf) di institusi pengajian tinggi, sambil mengecam kenyataan seorang senator DAP selepas didakwa mempertikaikan aktiviti tersebut.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar mendakwa kenyataan Dr Lingeshwaran R Arunasalam menunjukkan kegagalannya memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan serta kecenderungan mempertikai hak umat Islam yang dijamin undang-undang.
Menurutnya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Perkara 11 menjamin kebebasan beragama serta memberi kuasa kepada negeri untuk mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam.
“Peruntukan ini secara jelas membuktikan bahawa Perlembagaan mengiktiraf kedudukan istimewa Islam serta hak untuk agama Islam disebarkan dan dikembangkan secara aman, berhemah dan mengikut lunas undang-undang.
“Justeru, usaha dakwah serta program pendaftaran saudara baru yang dilaksanakan oleh pusat Islam di institusi pengajian tinggi adalah sah, berperlembagaan dan selaras dengan identiti negara.
“Selagi pelaksanaannya dibuat secara sukarela, tanpa paksaan, beretika serta mematuhi undang-undang, tiada mana-mana pihak berhak menghalang atau mempertikai aktiviti dakwah di kampus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Isu itu tercetus selepas poster bertajuk ‘Pendaftaran Saudara Baru (Mualaf)’ tular di media sosial menawarkan beberapa manfaat kepada pelajar yang memeluk Islam, termasuk mendapat yuran pengajian percuma.
Pada poster berkenaan tertera logo Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Islam universiti itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta lambang Malaysia Madani.

Mahasiswa yang memeluk Islam juga ditawarkan bantuan kewangan serta boleh menyertai sesi perkongsian pengalaman bersama mualaf lain, selain mengajak mahasiswa bukan Islam yang berminat mendalami agama itu menyertai kelas bimbingan.
UPSI kemudian menjelaskan poster itu tidak pernah dibentangkan dan mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti serta tidak pernah disebarkan menerusi mana-mana saluran rasmi universiti.
Bagaimanapun Lingeshwaran berkata perkara itu tetap perlu disiasat kerana mencetuskan kebimbangan orang ramai dan penafian pihak universiti sahaja tidak mencukupi memandangkan bahan itu menyentuh isu sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Dia juga mengkritik kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan Islam merupakan agama rasmi di Malaysia dan boleh dikembangkan termasuk di Pusat Pengajian Tinggi seperti UPSI.
Menurut Lingeshwaran, institusi pendidikan awam di negara ini adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang
Justeru katanya, tidak wajar institusi berkenaan dimanipulasi atau dieksploitasi untuk menggalakkan penukaran agama, sama ada secara langsung atau melalui insentif, keistimewaan atau sebarang bentuk galakan yang boleh menimbulkan persepsi tidak sihat.
Katanya, walaupun kebebasan beragama dijamin di bawah perlembagaan persekutuan termasuk penyebaran agama Islam, ia hendaklah dilaksanakan melalui saluran yang beretika dan berhemah.
‘Tafsir ikut kerangka Malaysian Malaysia’
Sementara itu, Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda PAS Selangor menolak pandangan bahawa institusi pendidikan awam perlu bersikap neutral sehingga menafikan kedudukan Islam dalam kerangka kenegaraan Malaysia.
Katanya, kampus seharusnya menjadi ruang ilmu yang turut memberi tempat kepada penghayatan nilai dan aktiviti dakwah.
Dalam kenyataan sama, dia turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kecenderungan mentafsir Perlembagaan melalui kerangka “Malaysian Malaysia”, yang menurutnya sering dikaitkan dengan DAP.
Mohamed Sukri mendakwa pendekatan sedemikian berpotensi menghakis asas persefahaman nasional serta kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu.
Sehubungan itu, Pemuda PAS menggesa semua pihak menghentikan polemik berkaitan hak dakwah umat Islam dan kembali menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sebarang cubaan mengubah kedudukan Islam atas nama pluralisme hanya akan menjejaskan keharmonian negara.
