Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembela: Institusi pendidikan awam bukan 'neutral agama'
Diterbitkan:  Jun 18, 2026 5:14 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menegaskan bahawa institusi pendidikan awam di negara ini tidak bersifat "neutral agama" sehingga boleh menafikan kedudukan Islam yang telah diiktiraf dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas pandangan Senator RA Lingeshwaran, yang sebelum ini menyatakan bahawa institusi pendidikan awam tidak boleh menjadi tempat penyebaran agama Islam, Presiden Pembela, Zainul Rijal Abu Bakar berkata kenyataan pemimpin DAP tersebut sebagai satu tafsiran yang tidak selaras dengan kerangka undang-undang tertinggi negara.

RA Lingeshwaran

“Institusi pendidikan awam juga tidak bersifat neutral agama dalam erti kata menafikan kedudukan Islam yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan.

“Sejak sekian lama, sekolah dan universiti awam menyediakan pelbagai kemudahan serta program berkaitan Islam seperti pengajian Islam, masjid, surau, kuliah dan aktiviti dakwah yang dijalankan secara terbuka dan teratur.

“Semua ini tidak pernah menghalang hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing, malah mencerminkan pendekatan Malaysia yang mengiktiraf kepelbagaian agama dalam kerangka kedudukan istimewa Islam,kata Zainul Rijal dalam satu kenyataan hari ini.

Isu itu tercetus selepas poster bertajuk ‘Pendaftaran Saudara Baru (Mualaf)’ tular di media sosial menawarkan beberapa manfaat kepada pelajar yang memeluk Islam, termasuk mendapat yuran pengajian percuma.

Pada poster berkenaan tertera logo Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Islam universiti itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta lambang Malaysia Madani.

Mahasiswa yang memeluk Islam juga ditawarkan bantuan kewangan serta boleh menyertai sesi perkongsian pengalaman bersama mualaf lain, selain mengajak mahasiswa bukan Islam yang berminat mendalami agama itu menyertai kelas bimbingan.

UPSI kemudian menjelaskan poster itu tidak pernah dibentangkan dan mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti serta tidak pernah disebarkan menerusi mana-mana saluran rasmi universiti.

Bagaimanapun Lingeshwaran berkeras mahu perkara itu disiasat kerana mendakwa ia mencetuskan kebimbangan orang ramai dan menyentuh isu sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, kenyataan senator DAP itu cuba menggambarkan seolah-olah institusi pendidikan awam sedang dimanipulasi untuk tujuan penukaran agama.

(Ini) adalah satu tuduhan yang melulu, tidak berasas dan berpotensi menimbulkan syak wasangka antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kenyataan sedemikian bukan sahaja mengabaikan realiti bahawa segala aktiviti keagamaan tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan yang ketat, malah boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengecilkan ruang penghayatan dan pengembangan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan," katanya.

Dia yang juga adalah seorang peguam berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, manakala Perkara 11(1) dan 11(4) memberi ruang kepada pengembangan Islam serta membenarkan sekatan terhadap penyebaran agama lain kepada umat Islam.

Tambahnya, bahawa penyediaan kemudahan dan program keagamaan seperti pengajian Islam, masjid, surau, kuliah, dan aktiviti dakwah di sekolah serta universiti awam selama ini dilakukan secara teratur tanpa pernah menghalang hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Justeru, katanya adalah tidak tepat untuk mengaitkan aktiviti penyebaran Islam di institusi pendidikan dengan unsur paksaan, eksploitasi, atau galakan yang tidak sihat. Pertubuhan itu menegaskan bahawa dakwah Islam bersandarkan kepada hikmah, nasihat yang baik, dan penghormatan terhadap kebebasan individu.

“Selagi penyebaran Islam dilaksanakan secara berhemah, sukarela dan mematuhi undang-undang, ia merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan sebahagian daripada tanggungjawab umat Islam dalam menyampaikan ajaran agamanya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pembela mengingatkan para pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dan sensitif, serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan keharmonian dan menimbulkan persepsi negatif terhadap amalan dakwah yang selama ini berlangsung secara aman.

Pertubuhan itu menegaskan sebarang cadangan untuk menyekat atau menyingkirkan aktiviti pengembangan Islam daripada institusi pendidikan awam bukan sahaja tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh, malah berpotensi menghakis semangat toleransi yang menjadi teras pembinaan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS