Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin, kembali menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat, secara rasminya mulai 18 Jun lalu.
Perkara itu disahkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, yang menyatakan keputusan tersebut dibuat setelah beliau meneliti pelbagai perkembangan berkaitan dengan kedudukan ketua pembangkang sejak mesyuarat pertama penggal lalu, selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 4A(3).
"Maka, saya memutuskan seperti berikut bahawa Yang Berhormat Larut (Hamzah) adalah ketua pembangkang setakat 20 Mei 2026. Selepas itu Yang Berhormat Kemaman ( Ahmad Samsuri Mokhtar) telah menjadi ketua pembangkang mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026.
"Kini, Larut mulai 18 Jun 2026 telah kembali menjadi ketua pembangkang. Saya mengucapkan tahniah kepada YB Larut atas kembalinya beliau memegang jawatan ketua pembangkang. Saya juga mengalu-alukan YB Larut untuk kembali berkhidmat sebagai ketua pembangkang demi memastikan semak dan imbang Parlimen terus berfungsi dengan berkesan," katanya sebelum sesi Dewan Rakyat bermula hari ini.

Hamzah yang merupakan bekas timbalan presiden Bersatu pada asalnya dilantik sebagai ketua pembangkang selepas pilihan raya umum 2022. Bagaimanapun, kedudukannya menjadi isu apabila dipecat daripada partinya pada Februari 2026 .
Susulan pemecatan tersebut, gabungan pembangkang melalui Perikatan Nasional (PN) melantik Ahmad Samsuri sebagai ketua pembangkang yang baru bagi menggantikan Hamzah.
Namun, pada 13 Jun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu bersetuju meneruskan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen selepas mengambil kira pandangan ahli parlimen PAS dan Gerakan Reset yang dipimpin Hamzah.
Sementara itu, ahli parlimen Kota Bahru Takiyuddin Hassan berkata bahawa Hamzah bukan lagi ahli parlimen Bebas.
"Sebagai ketua whip kumpulan pembangkang, saya nak mengesahkan bahawa Hamzah bukanlah seorang ahli parlimen Bebas.
"Dia adalah ahli parlimen satu parti berdaftar, dan ia bukan bercanggah dengan Perkara 49 A Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalam, Hamzah dilantik sebagai presiden parti politik baru Parti Wawasan Negara.
Pengumuman itu dibuat selepas Hamzah dan beberapa tokoh Wawasan berhimpun di Petaling Jaya bagi menghadiri mesyuarat agung luar biasa parti berkenaan.
Pada Konvensyen Reset pada 13 Jun lalu, Hamzah mendedahkan penubuhan Wawasan, yang namanya dikatakan diberikan oleh Hadi.
