Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hentikan genosid, bantu kami pulang', rayu kumpulan Rohingya
Diterbitkan:  Jun 23, 2026 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom) merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Asean, dan masyarakat antarabangsa untuk membantu menghentikan genosid yang sedang berterusan di Myanmar agar pelarian dapat pulang ke tanah air.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden pertubuhan itu Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata genosid mesti dihentikan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air secara sukarela, selamat dan bermaruah.

"Genosid mesti dihentikan, dan kewarganegaraan mereka mesti dikembalikan dengan selamat dan bermaruah," katanya.

Zafar Ahmad Abdul Ghani

Zafar menambah bahawa selama beberapa dekad, etnik Rohingya berdepan genosid yang berterusan melalui pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, rogol, penahanan sewenang-wenangnya, serangan, kehilangan paksa, penculikan, buruh paksa, pengusiran, pemerasan, sekatan pergerakan dan dipaksa menjadi perisai manusia.

Kesan daripada serangan yang berterusan itu adalah berkekalan, memandangkan etnik Rohingya di Negeri Rakhine terus tinggal di kem pelarian dalam negara sejak 2012, tambahnya.

"Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh tinggal di kem pelarian yang daif tanpa keperluan asas serta tanpa sekuriti dan keselamatan, yang memaksa mereka untuk melarikan diri lagi.

"Mangsa yang terselamat daripada genosid Rohingya mati secara senyap di Negeri Rakhine, di kem pelarian, dan di lautan semasa menyelamatkan nyawa mereka.

"Jumlah yang tidak terkira mati di tangan penyeludup manusia. Di mana lagi tempat untuk Rohingya mencari keselamatan?" soal Zafar.

Zafar berkata melainkan keamanan dan demokrasi dipulihkan serta keselamatan dijamin di Myanmar, Rohingya dan kumpulan etnik lain akan terus melarikan diri.

Oleh itu, dia menaruh harapan agar kerajaan Malaysia, serta pengerusi Asean, Filipina, akan mengambil tindakan bersama negara Asean yang lain untuk membincangkan langkah-langkah khusus bagi menamatkan genosid dan menyediakan sokongan kemanusiaan kepada mangsa yang terselamat.

"Kami juga menyeru anggota Asean, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan Bangladesh untuk mendakwa semua penyelundup manusia serta menghentikan rangkaian rasuah dan penyelundupan.

"Tragedi orang bot mesti dihentikan," katanya.

'Bukan ancaman'

Dalam kenyataan yang sama, Zafar juga menyentuh mengenai tuduhan palsu terhadap dirinya pada tahun 2020 bahawa kononnya dia menuntut kewarganegaraan Malaysia dan hak sama rata, yang kini tular semula di media sosial.

"Kebanyakan orang masih mempercayai (dakwaan) ini, menyebabkan pelarian Rohingya berdepan gangguan berterusan dan jenayah kebencian.

"Pelarian bukan ancaman. Kami adalah mangsa perang, genosid dan konflik, yang melarikan diri dari negara kami untuk mencari perlindungan dan naungan.

"Kami tidak datang ke sini untuk mencuri pekerjaan penduduk tempatan atau untuk mengambil alih negara, (sebaliknya) untuk mencari perlindungan buat sementara waktu sehingga Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian mencari penyelesaian jangka panjang untuk kami.

"Naratif palsu terhadap Rohingya ini mesti diperbetulkan. Jika tidak, ia akan menjadi barah dalam masyarakat, yang tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun," kata Zafar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS