Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini tampil menyangkal laporan sebuah akhbar tempatan berhubung pendirian parti itu dalam isu penyertaan parti baharu ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan parti itu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya menyokong penuh kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan hanya mengemukakan bantahan terhadap penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM).

“Laporan Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun bertajuk ‘Lapan MT PN Bantah Penyertaan Wawasan, Pejuang’ adalah tidak tepat, tidak benar dan mengelirukan.
“Bersatu ingin menegaskan bahawa parti ini menyokong kemasukan Pejuang ke dalam PN dan hanya membantah kemasukan PCM,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, Tun Faisal berkata, Bersatu berharap akhbar itu dapat segera membetulkan tajuk serta kandungan laporan yang telah disiarkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, seperti kenyataan Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu semalam, bantahan terhadap PCM yang diambil alih oleh kem seteru Bersatu daripada kumpulan Hamzah Zainudin dibuat kerana kemasukannya berpotensi mencetuskan konflik dalaman dalam PN.
Dia juga mendakwa proses permohonan itu tidak teratur.

Mengulas lanjut Tun Faisal berkata, permohonan tersebut dibuat atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang dikemukakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara, sedangkan pertukaran nama parti serta perubahan kepimpinan tersebut masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
“Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa Bersatu kesal dengan tindakan Pengerusi PN yang didakwa mendesak Majlis Tertinggi PN menerima kemasukan PCM secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi Akta Pertubuhan 1966 serta keperluan mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya lagi.
