Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon BN Johor: Kejutan gugur, tukar kerusi & kepulangan nama besar
Diterbitkan:  Jun 24, 2026 6:34 PM
Dikemaskini: 12:35 PM
1

BN hari ini mengumumkan senarai 56 calon gabungan itu bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-16, yang diketuai menteri besar sementara Onn Hafiz Ghazi yang mempertahankan kerusi Machap.

Selepas kelewatan seketika di tengah-tengah spekulasi rundingan saat akhir, Onn Hafiz, sebagai pengerusi BN Johor, naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan dan mengumumkan calon-calon tersebut di ibu pejabat Umno Johor di Johor Bahru.

Senarai penuh itu merangkumi 37 calon daripada Umno termasuk Onn Hafiz, 15 dari MCA dan 4 dari MIC.

Senarai calon BN untuk PRN Johor memaparkan beberapa pengagihan semula kerusi yang ketara dalam kalangan parti komponen, kepulangan tokoh terkemuka, dan ketiadaan beberapa nama besar sebelum ini.

Antara perubahan paling ketara ialah pengagihan semula beberapa kubu kuat tradisi antara Umno, MCA dan MIC.

Umpamanya, Layang-Layang yang sebelum ini dipegang oleh Abdul Mutalip Abd Rahim daripada Umno, diserahkan kepada MCA, yang meletakkan pegawai khas Menteri Besar Johor Chua Jian Boon.

Chua Jian Boon

Sebagai pertukaran, Tenggaroh, yang sekian lama dianggap sebagai kubu kuat MIC, diberikan kepada Umno. Parti itu menamakan Youzaimi Yusof sebagai calonnya di sana.

MIC pula diperuntukkan kerusi Kemelah dan Perling. Bekas Adun Tenggaroh dan exco negeri Ravinkumar Krishnasamy akan bertanding di Kemelah, manakala Pannir Selvan Paliksina diletakkan di Perling, kerusi yang ditandingi oleh MCA pada pilihan raya lalu.

Bekas exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On yang juga penyandang kerusi Serom tidak diumumkan sebagai calon pada PRN Johor kali ini.

Sebaliknya, Onn Hafiz mengumumkan calon muka baharu dan muda, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim sebagai calon di Serom.

Bagaimanapun sembilan lagi exco termasuk Onn Hafiz kekal bertanding di kerusi DUN masing-masing.

Mereka adalah Zahari Sarip di Buloh Kasap, Mohamad Fazli Mohamad Salleh di Bukit Pasir, Mohd Fared Mohd Khalid kekal bertanding di Semerah, Ling Tian Soon di Yong Peng, Lee Ting Han di Paloh, Aznan Tamin di Tanjung Surat, ;Mohd Jafni Md Shukor di Bukit Permai dan Mohd Hairi Mad Shah di Larkin.

Di beberapa kawasan bandar dan separa bandar yang secara tradisinya dikaitkan dengan PH dan Muda, BN meletakkan calon generasi baharu.

Di Puteri Wangsa, Teow Chia Ling daripada MCA akan bertanding di kerusi yang dikosongkan oleh presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz. Pertandingan itu dijangka menarik kerana dia berdepan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, yang bertanding di bawah panji-panji PH.

BN juga menyasarkan Johor Jaya, dengan muka baharu Chan San San diletakkan sebagai calon susulan persaraan Adun DAP yang lama berkhidmat Liow Cai Tung.

Di kerusi sebelahannya iaitu Skudai, Tan Hiang Kee akan berusaha merebut semula kerusi itu untuk BN selepas penyandangnya, Adun DAP Marina Ibrahim memilih untuk tidak mempertahankan kerusinya.

Sementara itu, di Penggaram, Boo Chin Long ditugaskan untuk mencabar penguasaan pembangkang di kawasan itu berikutan persaraan wakil rakyat veteran DAP Gan Peck Cheng.

Dr Adham Baba

Antara nama besar yang kembali bertanding adalah bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba, yang dicalonkan untuk kerusi Pasir Raja, menggantikan penyandangnya, Rashidah Ismail.

Adham yang juga Ketua Umno Bahagian Tenggara pernah menjadi Adun Pasir Raja selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal (2004-2008) dan pada 2018-2022.

Bagaimanapun, namanya digugurkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Senarai calon itu juga menyaksikan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad digugurkan daripada Benut, kerusi yang secara tradisi diwakilinya.BN sebaliknya menamakan Mohd Sumali Reduan sebagai calonnya di sana.

Sementara itu, ahli exco Johor dan naib ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah dikekalkan di Larkin.

Di Endau, Alwiyah Talib akan mempertahankan kerusi itu di bawah tiket BN selepas kembali ke Umno. Dia pertama kali memenangi kerusi Endau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 atas tiket BN-Umno.

Bagaimanapun, pada Mei 2018 dia bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor lain meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.

Pada PRN 2022, Alwiyah mempertahankan kerusi Endau di bawah tiket PN dalam saingan lima penjuru.

Onn Hafiz semasa pengumuman itu secara berseloroh, mengucapkan "selamat kembali" yang baharu kembali menyertai Umno tidak sampai sebulan.

Hasni Mohammad

Adun Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah, yang meraih kemenangan besar pada pilihan raya kecil 2024, dipilih untuk mempertahankan kerusi itu untuk penggal seterusnya.

Ketua Pemuda MCA dan ahli exco Johor Ling Tian Soon sekali lagi akan bertanding di Yong Peng, salah satu kawasan majoriti Cina yang penting di negeri itu.

Senarai penuh

N.01: Buloh Kasap – Zahari Sarip

N.02: Jementah – See Ann Giap

N.03: Pemanis – Anuar Abd Manan

N.04: Kemelah – K. Raven Kumar

N.05: Tenang – Mohd. Azhar Ibrahim

N.06: Bekok – Tan Chong

N.07: Bukit Kepong – Ahmad Syarie Yusof

N.08: Bukit Pasir – Mohamad Fazli Mohamad Salleh

N.09: Gambir – Sahrihan Jani

N.10: Tangkak – How Chin Teck

N.11: Serom – Nadhirah Afiqah Abdull Rahim

N.12: Bentayan – Chua Lee Huat

N.13: Simpang Jeram – Azman Ismail

N.14: Bukit Naning – Mohd. Sabari Ghazali

N.15: Maharani – Ashari Md. Sarip

N.16: Sungai Balang – Selamat Takim

N.17: Semerah – Mohd. Fared Mohd Khalid

N.18: Sri Medan – Zulkurnain Kamisan

N.19: Yong Peng – Ling Tian Soon

N.20: Semarang – Samsolbari Jamali

N.21: Parit Yaani – Mohamad Najib Samuri

N.22: Parit Raja – Nor Rashidah Ramli

N.23: Penggaram – Boo Chin Leong

N.24: Senggarang – Mohd. Yusla Ismail

N.25: Rengit – Mohd. Zaidi Japar

N.26: Machap – Onn Hafiz Ghazi

N.27: Layang-Layang – Chua Juan Boon

N.28: Mengkibol – Yap Zhi Peng

N.29: Mahkota – Syed Hussein Syed Abdullah

N.30: Paloh – Lee Ting Han

N.31: Kahang – V. Rugendren

N.32: Endau – Alwiyah Talib

N.33: Tenggaroh – Mohd. Youzaimi Yusof

N.34: Panti – Mohd. Taqib Mohd. Ghazali

N.35: Pasir Raja – Dr. Adham Baba

N.36: Sedili – Muszaide Makmor

N.37: Johor Lama – Norlizah Noh

N.38: Penawar – Fauziah Misri

N.39: Tanjung Surat – Aznan Tamin

N.40: Tiram – Abdul Halim Suleiman

N.41: Puteri Wangsa – Teow Chia Ling

N.42: Johor Jaya – Chan San San

N.43: Permas – Baharudin Mohamed Taib

N.44: Larkin – Mohd. Hairi Mad Shah

N.45: Stulang – Bong Seng Heng

N.46: Perling – Pannir Selvam

N.47: Kempas – Ramlee Bohani

N.48: Skudai – Tan Hiang Kee

N.49: Kota Iskandar – Pandak Ahmad

N.50: Bukit Permai – Mohd. Jafni Md. Shukor

N.51: Bukit Batu – R. Kumaran

N.52: Senai – Tai Chee Chee

N.53: Benut – Mohd. Sumali Reduan

N.54: Pulai Sebatang – Hasrunizah Hasan

N.55: Pekan Nanas – Tan Eng Meng

N.56: Kukup – Mohd. Israk Abdullah

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS