Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Kedah, P Pinang: 'Dari luka sejarah jadi senjata politik kaum'

ANALISIS | Pada bahagian pertama siasatan ini, Malaysiakini dan platform kewartawanan data Newsgraphy menjejaki bagaimana satu video Facebook yang memaparkan lawatan Sultan Kedah ke Istana Kedah di Pulau Pinang tersebar merentas ratusan akaun dan kumpulan Facebook.

Siasatan itu mendapati kempen berkenaan berkembang melalui gabungan halaman politik, kumpulan komuniti dan pengguna biasa sebelum akhirnya memasuki wacana politik arus perdana.

Namun, satu persoalan masih belum terjawab: mengapa naratif khusus ini mendapat sambutan begitu meluas?

Bagi menjawab persoalan itu, kami meneliti bukan saja siapa yang berkongsi kandungan tersebut, tetapi juga bagaimana naratif itu berkembang ketika ia tersebar.

Bagaimana kami menganalisis laporan ini

Artikel ini dibina berdasarkan dua set data Facebook yang disusun oleh Malaysiakini dan Newsgraphy: satu set data pemantauan yang menjejaki perbincangan mengenai pertikaian Kedah-Pulau Pinang antara November dan Disember 2025, serta set data kedua yang menjejaki 452 hantaran dan perkongsian semula Facebook yang dikaitkan dengan video lawatan diraja yang paling meluas disebarkan dalam kempen itu.

Hantaran disemak secara manual dan dikategorikan mengikut tema naratif, corak penglibatan serta tingkah laku penggandaan, dengan alat bantuan AI digunakan bagi menyokong analisis. Semua dapatan kemudian disemak oleh pasukan pelaporan.

Siasatan ini meneliti bagaimana naratif tersebut tersebar di alam maya dan bukannya ketepatan sejarah bagi dakwaan-dakwaan yang bersaing mengenai Pulau Pinang.

Perdebatan dipacu lonjakan perhatian

Perbincangan itu tidak berkembang secara beransur-ansur dari semasa ke semasa. Sebaliknya, aktiviti muncul dalam lonjakan singkat tetapi kuat, sering kali sejajar dengan perkembangan politik dan liputan media.

Lonjakan terbesar berlaku selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi membangkitkan tuntutan sejarah Kedah terhadap Pulau Pinang semasa pembentangan Belanjawan Kedah 2026, dan kemudian apabila isu itu timbul semula di Parlimen.

Daripada berkembang secara organik, perbualan itu bergerak dalam bentuk lonjakan. Setiap lonjakan mengikuti pencetus politik dengan rapat, menunjukkan peristiwa luar talian berulang kali menyalakan semula perhatian dalam talian sebelum ia kembali reda dengan cepat.

Apa sebenarnya yang mendorong penglibatan?

Satu statistik menonjol mengatasi yang lain.

Hanya dua hantaran Facebook - 0.4 peratus daripada set data - menghasilkan 43 peratus daripada semua penglibatan yang direkodkan.

Walaupun kempen itu berpusat pada tuntutan sejarah Kedah terhadap Pulau Pinang, hantaran yang mencetuskan respons awam paling kuat jarang sekali merupakan hantaran yang membahaskan sejarah itu sendiri. Sebaliknya, ia merayu kepada identiti.

Daripada 452 hantaran dan perkongsian semula Facebook yang dianalisis oleh Malaysiakini dan Newsgraphy, hampir dua pertiga sekadar berkongsi semula kandungan sedia ada tanpa menambah kapsyen.

Hantaran tunggal yang mencatat penglibatan paling tinggi dalam set data itu bukan datang daripada halaman parti politik, tetapi daripada Kelab Anak Kedah, sebuah halaman Facebook dengan kira-kira 248,000 pengikut yang menggambarkan dirinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada isu politik melibatkan Kedah.

Dimuat naik pada 18 Nov, reel itu menyeru penonton:

“Bangkitlah! Hidupkan semangat darah keturunan kita!”

Hantaran itu menarik lebih 22,000 reaksi, lebih 1,300 komen dan kira-kira 1,600 perkongsian, menjadikannya hantaran tunggal paling tinggi penglibatan yang dikenal pasti sepanjang siasatan ini.

Halaman itu juga muncul berulang kali dalam rangkaian penggandaan lebih luas yang dikenal pasti oleh Malaysiakini dan Newsgraphy, walaupun reel 18 Nov berkenaan menonjol kerana menghasilkan penglibatan jauh lebih tinggi berbanding mana-mana hantaran lain dalam set data itu.

Bagaimana rasa seakan teraniaya itu jadi identiti?

Pada tahap ini, analisis kami menunjukkan satu kesimpulan jelas: sejarah semata-mata bukan faktor yang mendorong penglibatan. Identiti dan rasa seakan teraniaya menjadi pemacunya.

Satu kajian berasingan oleh Initiative to Promote Tolerance and Prevent Violence (Initiate.MY) yang dikeluarkan pada Februari, sebagai sebahagian daripada laporan lebih luas mengenai polarisasi dalam talian dan naratif sayap kanan jauh di Malaysia, tiba pada kesimpulan yang hampir sama.

Walaupun kedua-dua siasatan menggunakan set data dan kaedah berbeza, kedua-duanya mendapati perbincangan kurang dipacu oleh perdebatan fakta atau prosedur, sebaliknya lebih didorong oleh naratif rasa teraniayadan identiti.

Initiate.MY mendapati kurang daripada satu dalam lima komen dalam talian memberi tumpuan kepada perbincangan fakta atau penyelesaian prosedur. Sebaliknya, lebih 80 peratus tertumpu pada rasa teraniayasejarah, pemilikan etnik, pengkhianatan dan persepsi kehilangan.

Menurut pengasas dan pengarah Initiate.MY, Aizat Shamsuddin, rasa teraniayadan identiti saling mengukuhkan antara satu sama lain.

“Rasa teraniaya memberi isu itu kekuatan emosi, manakala identiti memberinya khalayak kolektif. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan sepenuhnya antara satu sama lain.”

Rasa seakan teraniaya oleh sejarah, katanya, menjadi kuat dari segi politik apabila ia berhenti menjadi hujah tentang sejarah dan berubah menjadi kisah tentang siapa yang berhak berada di sesuatu tempat, siapa yang kehilangan sesuatu dan siapa yang harus menuntutnya kembali.

“Ia mewujudkan keresahan, kemarahan dan rasa kehilangan.”

“Apabila itu berlaku, penyokong digerakkan bukan sekadar untuk membahaskan sejarah, tetapi untuk mempertahankan identiti mereka.”

Aizat berkata sebahagian daripada rasa teraniaya yang dibangkitkan sepanjang kempen itu - termasuk kebimbangan mengenai sumber air, jurang ekonomi dan pembangunan negeri - merupakan isu dasar yang sah.

"Masalah timbul apabila rasa teraniaya itu dibingkaikan semula sebagai perjuangan etnik atau peradaban, bukannya ditangani melalui rundingan politik atau proses institusi," katanya.

Apabila politik memasuki rangkaian digital

Perdebatan sejarah jarang menjadi perbincangan arus perdana dengan sendirinya.

Dalam kalangan 452 hantaran Facebook yang dianalisis oleh Malaysiakini dan Newsgraphy, satu pelaku organisasi muncul lebih kerap berbanding yang lain.

Sebanyak 123 hantaran - kira-kira 27 peratus daripada set data - berasal daripada atau dikaitkan secara langsung dengan halaman Facebook Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling (DPPB).

Dibentuk pada 2014, halaman itu mempunyai kira-kira 32,000 pengikut dan sangat aktif antara 15 Nov hingga 17 Nov, apabila kandungan serupa muncul merentas beberapa kumpulan dan akaun Facebook dalam tempoh singkat.

Kebanyakan hantaran mempromosikan naratif kedaulatan Kedah. Namun, enam hantaran yang dikaitkan dengan rantaian penyebaran DPPB turut mengandungi mesej kepartian secara jelas yang menyasarkan DAP.

Dapatan itu tidak menunjukkan tingkah laku politik yang luar biasa - organisasi parti lazimnya menggerakkan penyokong secara dalam talian terhadap lawan politik.

Namun, apa yang ketara ialah bagaimana pertikaian sejarah secara beransur-ansur berkembang menjadi wahana politik kepartian semasa.

Sebelum penerbitan, Malaysiakini menghubungi DPPB berhubung peranannya dalam menggandakan kempen itu dan kandungan kepartian yang dikenal pasti dalam rantaian penyebarannya. Tiada maklum balas diterima.

Dari sejarah kepada permusuhan

Nada perbualan juga berubah ketika kempen itu tersebar.

Hantaran awal sebahagian besarnya tertumpu kepada hubungan sejarah Kedah dengan Pulau Pinang, rujukan kepada Istana Kedah dan perjanjian 1786 yang melibatkan Francis Light. Namun, apabila kempen itu berkembang, perbincangan bergerak melangkaui sejarah.

Semakin lama, hantaran membingkai isu itu melalui identiti Melayu, politik kepartian dan akhirnya retorik yang secara terbuka bersifat etnik.

Hanya 17 hantaran - kira-kira 3.8 peratus daripada set data - mengandungi bahasa yang secara jelas bersifat menghasut atau kepartian. Namun, hantaran itu menghasilkan hampir 9,000 interaksi.

Ada yang menyeru kewarganegaraan ahli politik pembangkang dibatalkan. Ada juga yang merujuk lawan politik menggunakan cercaan etnik.

Yang penting, mesej sedemikian tidak muncul pada permulaan kempen. Ia muncul dalam gelombang perkongsian yang kemudian, menunjukkan nada perbincangan menjadi lebih konfrontasi apabila rangkaian itu berkembang.

Aizat (gambar atas) berkata corak ini selari dengan bagaimana naratif rasa tidak puas hati sering berkembang dalam talian.

“Apabila luka sejarah dipolitikkan, ia sering berubah menjadi permusuhan,”katanya.

Retorik sedemikian, hujahnya, boleh secara beransur-ansur mengalihkan perhatian daripada perbincangan sejarah kepada ketidakpercayaan terhadap institusi, norma demokrasi dan komuniti minoriti.

Bukan sekadar perdebatan sejarah

Baik siasatan Malaysiakini dan Newsgraphy mahupun kajian Initiate.MY tidak berusaha menentukan sama ada tuntutan sejarah Kedah terhadap Pulau Pinang betul atau tidak.

Sebaliknya, kedua-duanya bertanya soalan berbeza: bagaimana pertikaian sejarah menjadi naratif politik arus perdana?

Walaupun menganalisis set data berbeza menggunakan kaedah berbeza, kedua-duanya sampai kepada jawapan yang hampir sama. Tuntutan sejarah mungkin mencetuskan perbualan, tetapi rasa seakan teraniaya itu, identiti dan penggandaan politik membantu mengekalkannya.

Dapatan itu menunjukkan apa yang tersebar dalam talian bukan sekadar hujah sejarah, tetapi naratif politik yang dibina di sekeliling sejarah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS