Tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dibuka secara rasmi pagi ini dengan proses penamaan calon di 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri bermula tepat 9 pagi.
Bakal calon mempunyai tempoh sejam, iaitu hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.
Sejurus pengisytiharan itu, 'gendang perang' pilihan raya akan mula dipalu dengan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari sehingga 11.59 malam, 10 Julai depan, seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 1 Jun lepas.
Setakat pagi semalam, sebanyak 593 borang pencalonan telah terjual, manakala 133 bakal calon disahkan telah menjelaskan bayaran deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka.

Mengikut statistik SPR, PRN Johor kali ini menyaksikan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Suhu politik di negeri ini dijangka memuncak dengan penampilan gabungan calon muka baharu, penyandang, selain kemunculan semula bekas wakil rakyat yang dipertaruhkan oleh parti masing-masing bagi merebut 56 kerusi DUN.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang melibatkan agihan 20 calon daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17).
Barisan Nasional (BN) turut bertanding di kesemua kerusi dengan menampilkan 36 calon UMNO, MCA (16) serta MIC (empat).

Perikatan Nasional (PN) pula mengumumkan bertanding menerusi PAS di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) satu kerusi.
Persaingan kali ini turut melibatkan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu calon serta kemunculan pertama Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dijangka bertanding bagi 15 kerusi DUN.
Secara lazimnya, hari penamaan calon akan menyaksikan suasana meriah di sekitar PPC dengan penyokong parti berkumpul seawal pagi bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Bagi memastikan kelancaran proses, SPR mengingatkan semua calon dan penyokong agar mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan, termasuk larangan penggunaan alat muzik atau pembesar suara menerusi kenderaan bagi tujuan kempen.
Dalam pada itu, semakan pada portal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di beberapa kawasan sekitar Johor pada sebelah pagi, manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.
Sebanyak 4,832 anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan serta kelancaran lalu lintas hari ini, termasuk menguruskan penutupan dan lencongan 19 jalan utama berhampiran PPC di seluruh negeri.
Sebelum pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti PH (12), Perikatan Nasional (tiga), manakala MUDA (satu).
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
- Bernama
