mk-logo
Berita
Khaled nafi calon BN ‘kitar semula’
Diterbitkan:  Jun 28, 2026 3:00 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mempertahankan keputusan BN menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baru pada PRN Johor, dengan menyifatkannya sebagai pendekatan paling sesuai dalam suasana politik dan pentadbiran yang semakin mencabar.

Menurut Khaled, dakwaan bahawa BN terlalu banyak mengetengahkan calon “kitar semula” tidak wajar dilihat secara mudah, sebaliknya perlu difahami dalam konteks keperluan memastikan kesinambungan kepimpinan serta pengalaman dalam mentadbir negeri.

Dia berkata menurunkan semua calon baru dalam pilihan raya kali ini boleh menjadi langkah berisiko kerana kerajaan negeri memerlukan barisan pemimpin yang mampu terus bekerja sebaik diberi mandat.

"Kita harus ingat bahawa keadaan yang kita hadapi sangat kompleks. Kalau kita beri (tampilkan) semua calon baharu, itu seperti kita melakukan percubaan. Kita tidak mampu.

"Jadi, atas sebab itulah yang terbaik ialah adanya gandingan antara calon baharu dengan lama," katanya seperti dipetik Bernama.

Semalam, bekas speaker DUN Johor, Mohd Puad Zarkashi mendakwa BN menampilkan ramai calon “kitar semula” serta tidak mencerminkan aspirasi anak muda pada PRN Johor kali ini.

Melalui kenyataan di media sosial selepas proses penamaan calon selesai, Puad yang mengumumkan keluar dari Umno baru-baru ini berkata senarai calon bekas partinya itu disifatkannya gagal memenuhi tuntutan generasi baru dalam parti itu.

“Calon Umno adalah calon 'caca marba', tidak menarik dan tidak mengambarkan perubahan," tegasnya.

Gambar fail, Puad ketika masih ahli Umno bersama Khaled.

Bagaimanapun, Khaled berkata BN tidak menampilkan muka baru semata-mata untuk memenuhi persepsi tertentu, sebaliknya mengutamakan calon yang mempunyai keupayaan melaksanakan tugas dan memberi khidmat kepada rakyat.

Khaled yang juga menteri pertahanan berkata pengalaman menjadi faktor penting bagi memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan berkesan selepas pilihan raya.

"Kita bukannya hendak mempamerkan semua calon baharu, kemudian apabila menang tidak tahu hendak bermula dari mana.

"Yang penting ialah keupayaan untuk bekerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata pilihan raya sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat memilih kerajaan yang mampu membawa keadaan lebih baik, selaras dengan tujuan demokrasi.

Dalam perkembangan sama, Khaled berkata hanya BN dan Pakatan Harapan (PH) dilihat mempunyai keupayaan membentuk kerajaan negeri berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi pada PRN Johor.

Berdasarkan proses penamaan calon semalam, BN dan PH masing-masing bertanding di semua 56 kerusi DUN manakala PN menerusi PAS dan Bersatu bertanding di 27 kerusi.

"Kalau kita lihat kepada hasil pencalonan, hanya ada dua gabungan yang mampu membentuk kerajaan negeri iaitu BN dan PH.

"PAS bertanding 11 kerusi dan Bersatu 16 kerusi, jumlahnya 27, dicantumkan kedua-duanya pun tidak boleh membentuk kerajaan negeri," katanya.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Julai sebagai hari pengundian awal manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.

Seramai 2,727,926 pemilih berdaftar di Johor, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS