Mohd Puad Zarkashi mendakwa parti Umno “ego” dan terlalu yakin boleh menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun bekas perdana menteri Najib Razak masih berada dalam penjara.

Bekas pemimpin Umno yang keluar dari parti itu beberapa hari lalu membuat dakwaan tersebut susulan keyakinan yang ditunjukkan dengan “kerjasama senyap” bersama PAS.

“Beberapa pemimpin Umno percaya Umno akan menang besar di Johor. Ada juga yang berpandangan kalau Bossku masih di dalam (penjara) semasa PRN Johor tidak mengapa.

“Kerjasama Umno-PAS ini lebih besar impaknya walaupun Bossku tidak dapat membantu kempen,” katanya merujuk kepada gelaran yang popular dikaitkan dengan Najib sebelum ini.

Pengarah Komunikasi Umno Lokman Noor Adam pada 24 Jun mengesahkan akan kembali bekerjasama dengan PAS dalam PRN Johor walaupun parti itu sebelum ini menegaskan tidak mahu ‘dipatuk ular pada tempat yang sama’.

Katanya, ia adalah peluang kedua untuk Umno menjalinkan semula kerjasama dengan PAS dan berkemungkinan Parti Wawasan Negara pimpinan timbalan presiden Bersatu yang dipecat Hamzah Zainudin.

Pada 8 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor mengakui ada rundingan bagi mencari jalan kerjasama dengan  Umno tetapi belum mendatangkan hasil ketika itu.

Setakat ini tiada pengumuman rasmi berkaitan status kerjasama itu daripada PAS.

Bagaimanapun, PAS semalam mengumumkan arahan supaya penyokongnya mengundi BN di kawasan yang tidak ditandingi mereka.

Untuk rekod BN meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan langkah itu turut diambil oleh PH.

Bagaimanapun PAS hanya meletakkan 11 calon manakala Bersatu 16. Pejuang - yang menjadi komponen terbaru PN - pula diberikan satu kerusi.

Satu lagi parti komponen PN, Parti Rakyat India Malaysia, bertanding di lima kerusi lain.

PAS telah memutuskan kerjasama mereka dengan Bersatu walaupun kedua-dua parti masih menggunakan lambang sama dalam PRN kali ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapat penjelasan Umno dan PAS berkaitan dakwaan kerjasama disebut Mohd Puad.

‘Persetujuan awal PAS tak bertanding’

Menulis di media sosialnya hari ini, Mohd Puad mendakwa pemimpin Umno senyap-senyap berunding dengan PAS untuk membentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya terutamanya PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, antara persetujuan awal kedua-dua pihak ialah PAS tidak akan bertanding di PRN Johor. Namun parti itu akhirnya bertanding di 11 kerusi.

Dakwa Mohd Puad, dia telah mengingatkan bahaya kerjasama itu ketika perkara berkenaan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 10 Jun lalu.

“Perundingan boleh diteruskan jika tujuannya untuk menang PRN atau PRU.

“Tetapi kalau kerjasama itu bertujuan penyatuan ummah ia tidak akan berjaya. Lagi baik fokus kepada Musyawarah Nasional dipengerusikan oleh (bekas Menteri Besar Johor) Ghani Othman,” katanya.

Musyawarah Nasional diharap menjadi platform yang menghimpunkan NGO Melayu-Islam, ahli profesional, tokoh berpengaruh serta pemimpin pendapat untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan merumuskan penyelesaian terbaik kepada cabaran ummah.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata platform itu juga berperanan sebagai medan menghimpunkan hikmah dan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada umat Melayu dan Islam, tetapi kepada masa depan negara secara keseluruhan.

Zahid berkata demikian setelah menyerahkan watikah pelantikan kepada lima pengerusi teras Musyawarah Nasional yang akan memacu perbincangan dalam bidang kepakaran masing-masing merangkumi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.