mk-logo
Berita
Air Force One baru: Jet percuma oleh Qatar cetus krisis etika Trump
Diterbitkan:  Jun 30, 2026 10:31 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan melakukan penerbangan pertamanya dengan pesawat baharu Air Force One yang dihadiahkan oleh Qatar pada lewat minggu ini, menurut Rumah Putih pada Isnin.

AFP melaporkan Trump akan menaiki jet tersebut pada Rabu ke North Dakota untuk menghadiri acara menandakan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.

Semasa memperkenalkan pesawat itu pada awal bulan ini, Trump memuji negara Teluk itu kerana "sangat baik dan menyediakan" pesawat Boeing 747 yang telah diubah suai, yang sebelum ini digunakan oleh ketua negara Qatar.

Trump yang merupakan seorang bilionaire, amat mementingkan usaha menggantikan jet lama yang digunakan sebagai Air Force One sejak penggal pertamanya lagi, dan dia memilih sendiri warna merah, putih dan biru untuk pesawat baharu itu.

Bagaimanapun, para pengkritik membangkitkan pelbagai kebimbangan mengenai etika, perlembagaan dan keselamatan berhubung pemberian sebuah pesawat bernilai ratusan juta dolar oleh kuasa asing seperti Qatar.

Perlembagaan AS melarang presiden dan pemegang jawatan lain daripada menerima "sebarang hadiah, emolumen, jawatan, atau gelaran, daripada apa jua jenis sekalipun, daripada mana-mana raja, putera, atau negara asing" melainkan diluluskan oleh Kongres.

Pentadbiran Trump menyatakan bahawa pesawat itu ialah hadiah langsung kepada Jabatan Pertahanan AS – sementara mencetuskan kebimbangan lanjut dengan menyatakan bahawa pesawat tersebut akhirnya akan didermakan kepada perpustakaan kepresidenan Trump.

Pesawat hadiah Qatar itu bertujuan sebagai penyelesaian sementara sehingga pengeluar pesawat AS, Boeing menyerahkan dua pesawat baharu 747-8 untuk digunakan sebagai jet presiden dalam program yang dibelenggu kelewatan dan peningkatan kos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS