Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga Australia sumbat remaja dalam bagasi lepas noda seksual
Diterbitkan:  Jun 30, 2026 10:45 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Keluarga kepada seorang remaja perempuan Thailand berusia 17 tahun yang mayatnya ditemui di dalam sebuah bagasi di Pattaya menyatakan bahawa mereka amat sedih atas kematiannya. Seorang lelaki Australia ditangkap dan dituduh membunuh remaja berkenaan.

AFP melaporkan polis Thailand memaklumkan bahawa mereka telah menangkap seorang lelaki Australia berusia dalam lingkungan 40-an di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok pada awal pagi Sabtu lalu, berhubung kes pembunuhan di Pattaya yang terletak kira-kira 150 km (93 batu) di timur Bangkok.

Suspek yang dikenali sebagai Simon Peter Carman berdepan pertuduhan membunuh, menyembunyikan mayat, mengalih atau memusnahkan mayat, serta membawa kanak-kanak bawah umur bagi tujuan seksual.

Polis Thailand menyatakan bahawa mereka memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Carman memasuki sebuah kondominium bersama remaja perempuan itu, sebelum keluar bersendirian beberapa jam kemudian dengan membawa sebuah bagasi.

Dalam satu hantaran di laman Facebook, polis menyatakan bahawa dia memuatkan bagasi itu ke atas sebuah motosikal lalu menunggang ke kawasan berumput berhampiran landasan kereta api.

Polis kemudian mengeluarkan waran tangkap dan menangkap Carman di lapangan terbang ketika dia bersiap sedia untuk menaiki penerbangan pulang ke Australia.

Di bilik siasatan di balai polis, Carman menyampaikan mesej kepada keluarga mangsa sebelum dipindahkan ke Mahkamah Wilayah Pattaya.

"Saya berasa kesal dengan apa yang berlaku kepada anak perempuan anda. Ia di luar kawalan saya," katanya.

Bapa mangsa, Thongchai Donhomla, 46, menyatakan bahawa dia sukar untuk menerima kehilangan tersebut.

"Saya amat sedih. Anak perempuan saya tidak mempunyai ibu, jadi setiap kali dia mahukan sesuatu, dia akan mencari jalan sendiri, dan dia juga sentiasa membantu saya," katanya.

Ibu tirinya, Oradee Bussarakum, menyatakan bahawa dia mahu suspek menerima hukuman yang paling berat.

"Saya memberitahu polis bahawa saya mahu dia dihukum mati. Sebagai seorang ibu (tiri), saya tidak tahu apa lagi yang mahu diperkatakan ... Saya cuma mahu dia menerima akibat sepenuhnya," katanya.

Polis tidak menyatakan tarikh Carman akan dihadapkan ke mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS