mk-logo
Berita
Kekayaan kripto Trump cecah AS$1.4 bilion
Diterbitkan:  Jul 1, 2026 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melaporkan pendapatan lebih AS$1.4 bilion daripada usaha niaga kripto keluarganya pada tahun lalu. Jumlah itu menunjukkan dia kini memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada aset digital yang mendapat manfaat daripada dasarnya.

Pendedahan daripada dokumen oleh Pejabat Etika Kerajaan AS pada Selasa itu dibuat selaras dengan undang-undang yang digubal pada 1978, mewajibkan presiden dan naib presiden AS mengisytiharkan pendapatan serta aset mereka.

Laporan Reuters menyebut menurut pengisytiharan tahunan 2025 itu, Trump menerima lebih AS$500 juta daripada World Liberty Financial, sebuah usaha niaga kripto yang diasaskannya bersama anak-anak lelakinya.

Trump turut melaporkan AS$635 juta lagi hasil daripada jualan syiling meme $TRUMP miliknya.

Presiden itu juga melaporkan pendapatan melebihi AS$80 million daripada penyelesaian dengan beberapa syarikat media, serta jutaan dolar pendapatan daripada syarikatnya yang melesenkan namanya kepada pemaju hartanah luar negara.

Pengisytiharan berkenaan memberikan gambaran baharu tentang skala keuntungan presiden itu daripada penglibatan keluarganya dalam mata wang kripto.

Reuters sebelum ini menganggarkan keluarga Trump menjana keuntungan sekurang-kurangnya AS$2.3 bilion daripada pelabur sejak Trump mengambil alih semula jawatan presiden.

White House tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai fail berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS