mk-logo
Berita
Mahkamah Agung AS sekat perintah Trump, selamatkan hak bayi asing
Diterbitkan:  Jul 1, 2026 11:16 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menolak perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang menafikan hak kewarganegaraan berdasarkan kelahiran kepada anak yang dilahirkan oleh pendatang tanpa izin atau individu yang berada di negara itu secara sementara, sekali gus mengekalkan prinsip kewarganegaraan berdasarkan kelahiran, lapor Xinhua.

Ketua Hakim Negara John Roberts, dalam penghakimannya berkata kewarganegaraan sejak dahulu merupakan hak yang membolehkan seseorang menikmati hak-hak lain, termasuk mengambil bahagian secara bebas dalam kehidupan politik negara.

"Penggubal Pindaan Ke-14 memperluaskan jaminan itu kepada setiap individu yang dilahirkan bebas di negara ini ... Hari ini, kita menunaikan janji itu," katanya.

Keputusan itu dibuat menerusi undian 6-3, dengan tiga hakim konservatif menyertai tiga hakim liberal untuk membentuk majoriti.

Mahkamah turut memetik peruntukan bahawa "semua individu yang dilahirkan atau dinaturalisasikan di AS serta tertakluk kepada bidang kuasanya ialah warganegara AS dan negeri tempat mereka menetap."

Trump menandatangani perintah eksekutif mengenai kewarganegaraan berdasarkan kelahiran pada 20 Jan 2025, iaitu hari dia mengangkat sumpah jawatan bagi penggal keduanya sebagai presiden.

Perintah itu menyatakan bahawa anak yang dilahirkan oleh individu yang berada di AS secara tidak sah atau hanya berada di negara itu secara sementara tidak tertakluk kepada bidang kuasa AS, sekali gus tidak layak memperoleh kewarganegaraan di bawah Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS atau Akta Imigresen dan Kewarganegaraan.

Beberapa ibu bapa kemudian memfailkan saman, sama ada bagi pihak diri sendiri atau anak mereka.

Beberapa mahkamah rendah memutuskan memihak kepada plaintif, menyebabkan perintah eksekutif itu tidak pernah berkuat kuasa.

Trump menerusi hantaran di platform Truth Social pada Selasa menyifatkan keputusan Mahkamah Agung itu sebagai "amat malang untuk negara kita."

Dia turut berkata perkara itu boleh diperbetulkan melalui penggubalan undang-undang di Kongres, sambil menggesa badan perundangan itu memulakan usaha serta-merta untuk menamatkan dasar kewarganegaraan berdasarkan kelahiran yang menurutnya membebankan dan tidak adil kepada AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS